PAS minta G25 baca sejarah tamadun Islam

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh menasihati kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 agar menelusuri sejarah kejayaan negara Islam sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan Islam.

“Kumpulan G25 ini merupakan kumpulan terpencil yang mana mereka ini tidak ada kajian dan bercakap mengikut hawa nafsu semata-mata.

“Kita minta supaya dia baca sejarah tamadun Islam yang menguasai dua pertiga dunia.

“Kita suruh dia pergi ke negara Kazakhstan, Azerbaijan dan negara-negara dunia Islam untuk melihat kehebatan tamadun Islam yang begitu hebat zaman dahulu.

Advertisement

“Kita kena tengok Islam bangkit pada zaman Rasulullah yang pada ketika itu zaman jahiliah.

“Pada masa itu, manusia sangat mengagumi dengan kerajaan Rom dan Parsi sehingga mengatakan tidak ada zaman yang boleh menandingi kehebatan kedua-dua negara tersebut.

“Tetapi ternyata tanggapan itu meleset apabila Islam berjaya membuktikan kejayaan negara Islam yang jauh lebih bertamadun melalui agenda dan pembangunan Islam yang dibina oleh Rasulullah dan para sahabat ketika zaman kerajaan jahiliah di Semenanjung Tanah Arab,” jelasnya.

Beliau turut menyifatkan kenyataan kumpulan terbabit sesuatu yang dangkal serta tidak berilmiah apabila mendakwa pemerkasaan undang-undang Islam akan memberi impak negatif terhadap kelangsungan ekonomi negara, khususnya sentimen pelabur.

Ustaz Nik Zawawi menolak dakwaan itu dengan menyatakan pemerkasaan undang-undang Islam mampu menjana pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan lebih baik bahkan menjadi negara tumpuan para pelabur asing berikutan nama baik negara yang tiada rekod ‘jenayah’ apabila RUU ini dilaksanakan.

“Macam mana mereka boleh kata kalau Islam (RUU) ini dilaksanakan tiba-tiba pelabur lari, sedangkan saya sangat yakin bila ia dilaksanakan, pelabur seluruh dunia akan masuk ke Malaysia atas dasar-dasar kebaikan yang ada di dalam Islam.

“Pengagihan ekonomi akan berlaku dengan baik. Tidak akan berlaku isu kebocoran, ketirisan dan penyalahgunaan kuasa sekiranya ia dilakukan. Bila negara ini baik, bagaimana mungkin pelabur ini tidak akan masuk.

“Kita kena ingat bahawa Islam ini bukan agama yang menghukum, yang mengatakan Islam potong tangan, ini bukan ulamak Islam yang bercakap tetapi golongan orientalis.

“Ulamak Islam bercakap, Islam akan menghapuskan salah guna kuasa, penyelewengan, rasuah serta judi, dan bila perkara ini dihapuskan, insya-Allah negara kita akan dibanjiri oleh pelabur-pelabur besar di seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Puteh itu turut menyangkal kenyataan kumpulan itu yang mendakwa penggubalan undang-undang sedemikian akan dilihat oleh pemerhati tempatan dan asing sebagai satu langkah ke belakang yang akan membawa kemunduran dari segi perpaduan dan kestabilan nasional.

“Cuba kita lihat di dalam negara kita, sebagai contoh negeri Kelantan, semua orang mengatakan bahawa kerajaan Kelantan tidak akan bertahan lama disebabkan kerajaan yang mentadbir negeri itu adalah kerajaan yang melaksanakan undang-undang Islam.

“Ini semua pandangan manusia, ternyata sampai ke hari ini boleh bertahan dan apa yang dilaksanakan di Kelantan ini menambahkan tamadun dan kekayaan rakyat serta negerinya.

“Pembayaran cukai antara yang tertinggi di dalam negara adalah Kelantan dan pembangunan-pembangunan yang membabitkan umat Islam adalah di Kelantan.

“Orang-orang kaya di Kelantan adalah orang Islam dan syarikat-syarikat besar yang ada di bandar adalah milik orang Melayu dan Islam. Negeri lain mana ada.” jelasnya.

Katanya, ini sekali gus menolak kenyataan kumpulan itu yang mengatakan jika dua RUU tersebut diluluskan menjadi undang-undang, situasi ketaksaksamaan kaum dan agama dalam kalangan rakyat negara ini akan menjadi semakin buruk dan struktur sosial masyarakat akan hancur. – HARAKAHDAILY 8/4/2021