PAS Kedah teruskan program tahunan Semarak Kasih Ramadan

- Advertisement -

RAMADAN bakal datang lagi. Bulan mulia yang penuh keberkatan ini tidak wajar dibiar berlalu begitu sahaja tanpa sebarang pengisian ke arah mencari keredhaan Allah S.W.T. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

- Advertisement -

“Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadan (dengan kelebihan yang lain): Bulan penuh keberkatan, Allah memfardhukan puasa atas kamu, dibuka pintu-pintu Syurga, dikunci pintu-pintu Neraka, dibelenggu Syaitan (supaya tidak mengganggu umat Muhammad S.A.W daripada melakukan pelbagai ibadat), di dalam ada Malam Qadar iaitu satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Sesiapa yang tiada diberikan kebajikan malam itu maka sesungguhnya dia tidak diberikan kebajikan kepadanya.”

(Hadis Riwayat at-Tabrani)

Justeru, seperti kebiasaan pada setiap kemunculan Ramadan, PAS Kedah telah merancang pelbagai aktiviti dalam Program Semarak Kasih Ramadan 1442H dimulai dengan Sambutan Istiqbal Ramadan yang akan diadakan di seluruh negeri pada 25 Syaaban 1442H bersamaan 8 April 2021M. Program ini akan dipimpin oleh Dewan Ulamak PAS Negeri dan Kawasan-kawasan.

PAS Kedah akan mengedarkan buah kurma di beberapa kawasan kepada orang ramai sebagai juadah iftar manakala kepada jabatan, agensi kerajaan serta badan berkanun, PAS Kedah akan mengagihkan hamper kepada pihak berkenaan sebagai tanda penghargaan ke atas khidmat mereka untuk masyarakat.

Selain itu, dalam penumpuan yang lebih khusus kepada golongan yang memerlukan, PAS Kedah akan melakukan ziarah ke semua 15 kawasan dalam Negeri Kedah untuk menyantuni serta menghulurkan sumbangan kepada golongan asnaf yang terpilih.

Semoga kemunculan Ramadan kali ini akan memberi makna yang besar kepada semua pihak. PAS Kedah berharap, Program Semarak Kasih Ramadan akan benar-benar menyemarakkan rasa kecintaan terhadap anugerah Ramadan yang Allah S.W.T kurniakan kepada para hambaNya.

 “اسلام  ممڤركوكوه  ڤرڤادوان” 

USTAZ MUSODDAK HAJI AHMAD
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah 
25 Syaaban 1442H | 8 April 2021M – HARAKAHDAILY 8/4/2021

- Advertisement -