Malam Perpaduan satukan rakyat majmuk

KUALA TERENGGANU: Dengan menjadi model terbaik negara masyarakat majmuk kepada dunia dan model terbaik kepada negara Islam lain di seluruh dunia, kerajaan negeri mengeratkan lagi hubungan komuniti Terengganu dalam satu Majlis Makan Malam Perpaduan, Peringkat Negeri Tahun 2021 di sini semalam.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, usaha penganjuran majlis berkenaan sangat murni dengan kerjasama Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional di samping Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.

“Perpaduan ini terhasil kerana wujudnya hubungan yang sangat erat di kalangan masyarakat majmuk di negara ini. Inilah kehebatan dan keunikan negara kita Malaysia, walaupun kita mempunyai perbezaan yang sangat ketara dari segi bangsa, agama, kebudayaan malah pegangan ideologi.

Advertisement

“Atas kematangan dan rasa jati diri yang sangat tinggi yang ada di kalangan rakyat di negara ini telah membolehkan negara membangun dalam suasana keamanan, keharmonian dan kesejahteraan hidup di sebuah negara yang bebas, merdeka dan berdaulat ini, iaitu Malaysia yang tercinta.

“Inilah kehebatan dan keunikan negara kita Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Perpaduan, Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2021 mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Duyong Marina Resort malam tadi.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Dalam perkembangan sama, Yahaya menyeru agar masyarakat dapat terus memperkasakan lagi semangat perpaduan, kerjasama serta bersangka baik bagi membolehkan negara dapat terus mengekalkan keamanan serta kedaulatan yang dinikmati pada hari ini.

“Saya yakin dan percaya program seumpama ini akan mampu menjadi platform terbaik bagi usaha-usaha mengekalkan keamanan serta kemakmuran di negeri ini khususnya. Syabas dan tahniah kepada pihak penganjur program.

“Sebagai sebuah negara, Malaysia dan seluruh warganya kini berada di persimpangan jalan. Pilihan yang kita putuskan hari ini akan menentukan nasib serta mencorakkan rupa bentuk Malaysia pada masa hadapan,” jelasnya.

Tambah beliau, amat malang dan dukacita, jika ada pihak-pihak yang cuba mengkhianati dan menodai perpaduan ini kerana kepentingan peribadi, kepentingan kumpulan tertentu.

“Di atas segalanya dalam hal ini, kita perlu memahami dan menghayati lima prinsip Rukun Negara dalam kehidupan harian kita.

“Penghayatan dan pengamalan yang jelas tentang Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara perlulah dihayati oleh setiap individu rakyat di negara ini agar semangat perpaduan dan keharmonian negara terus dipertahankan,” ujarnya. – TRDI.my