Kartel tender: Syabas SPRM, kerajaan PN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh mengucapkan syabas kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil pendekatan tegas dalam isu kartel tender.

“Saya mengucapkan syabas kepada SPRM dan kerajaan PN yang mengambil pendekatan yang tegas untuk kita memastikan perjalanan khasnya melalui agensi kerajaan, tender-tender yang dibuka ini betul-betul berkesan dan memberi manfaat semaksima mungkin kepada seluruh rakyat yang ada di negara kita,” ujarnya.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat itu menegaskan tindakan yang diambil seumpama itu amat wajar.

“Ia memberi pengajaran kepada pihak-pihak lain supaya kita jangan ambil mudah harta benda kerajaan, ataupun dalam waktu sama harta kerajaan ini adalah harta rakyat hasil daripada cukai yang diberi rakyat.

- Advertisement -

“Hasil daripada banyak perkara yang sebabkan wang disatukan ini, kalau digunakan sebaik mungkin tentunya ia akan memberi manfaat semaksima mungkin kepada negara kita,” ujarnya kepada Harakahdaily, semalam.

Namun demikian beliau berharap tidak berlaku double standard dalam pendedahan kartel itu untuk menjaga individu-individu tertentu.

Menurutnya, penyalahgunaan kuasa yang diamanahkan menjadi punca negara mundur dan tidak mampu berdaya saing.

Katanya, kartel tender yang didedahkan SPRM pada Isnin lalu merupakan satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi dalam sesebuah negara yang mengamalkan Islam.

Beliau berpendapat, jenayah tersebut berkemungkinan berlaku akibat daripada budaya sedemikian yang telah wujud dalam sistem pemberian tender sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

Ini berdasarkan penilaian kepada jumlah keuntungan yang dikaut mereka, ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kejayaan SPRM melumpuhkan kartel tender yang memonopoli ratusan tender kementerian dengan nilai projek dianggarkan mencecah RM3.8 bilion.

Memetik laporan media, sumber berkata kartel terbabit dikatakan memonopoli sebanyak 345 tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara dan dipercayai beroperasi sejak 2014 sehingga sekarang.

Mengulas lanjut kata Ahli Parlimen Pasir Puteh itu, jenayah tersebut boleh menjadi faktor banyak projek-projek terbengkalai atau gagal menepati piawaian, syarat serta aspek-aspek yang ditetapkan.

Justeru, ujarnya tidak hairan sekiranya Malaysia sukar untuk bersaing dengan negara-negara maju dan jauh tertinggal di belakang.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pegawai-pegawai kerajaan dan mana-mana pihak yang terlibat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin serta tidak mencari jalan mudah untuk mengaut keuntungan melalui penyalahgunaan kuasa. – HARAKAHDAILY 8/4/2021

- Advertisement -