“Jika ada usaha pecah belah perpaduan, kita menentang’

KANGAR: Muafakat Nasional (MN) yang dijalin bertujuan untuk menguatkan lagi perpaduan umat Islam dan Melayu di negara ini.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berkata, begitu juga jalinan kerjasama dengan Bersatu.

“Jadi jika ada usaha untuk pecah belahkan perpaduan umat Islam kita terpaksa menentang mereka.

“PAS memang jelas menolak kerjasama dengan PKR dan DAP. Kita harap masih ada masa untuk diperbetulkan matlamat MN dan perpaduan ummah itu sendiri,” katanya ketika ditemui di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) hari ini.

Advertisement

Ditanya wujud dakwaan audio rakaman perbualan antara Presiden Umno Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang tular di media sosial, kata beiau ia belum dipastikan kebenarannya.

Menurutnya dari sudut politik jika audio tersebut benar, kerjasama belakang tabir yang dijalinkan tersebut adalah hak masing-masing.

“Apa yang saya nampak kita belum pasti audio tersebut benar atau tidak, jika betul, kita boleh faham ada usaha di sebalik apa yang berlaku yang melibatkan antara Umno dan PKR

“Dari sudut politik memang hak masing-masing, namun kita menzahirkan dukacita jika ianya benar.

“Namun kita memang tidak putus asa dan usaha berterusan bagi penyatuan ummah. Jadi Umno perlu fikir semasaknya sebelum membuat keputusan bekerjasama dengan PKR,” katanya.

Bagaimanapun beliau berharap audio berkenaan sebagai tidak betul.

Semalam, Dr Ahmad Zahid dilapor menafikan sekerasnya audio yang mendakwa perbualan antara dirinya dengan Anwar.

Sehubungan itu beliau mengarah pembantunya membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan. – HARAKAHDAILY 8/4/2021