Air: Menteri bawa berita baik, pembangkang dangkal

Shahir Adnan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu air di Kelantan masih menjadi modal politik pihak tertentu tanpa melihat kepada fakta dan asas yang tepat, kata Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Shahir Adnan.

Ini susulan seorang ketua pemuda pembangkang di negeri itu masih bersandiwara memainkan isu air di negeri itu seolah-olah Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tidak cakna kepada rakyat.

Beliau berkata, pandangan yang dilontarkan oleh ketua pemuda pembangkang itu sememangnya dangkal dan tidak masuk akal.

Menurutnya, setelah berada di dalam Kerajaan Persekutuan, akhirnya rakyat di Kelantan mendapat berita baik apabila Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan untuk menaik taraf infrastruktur perkhidmatan bekalan air seperti loji rawatan air, penggantian paip air bagi mengurangkan kehilangan air tidak terhasil (NRW) dan projek untuk meningkatkan liputan perkhidmatan pembentungan.

- Advertisement -

Rakyat di Kelantan akhirnya tidak lagi dianaktirikan di bawah dasar prihatin dan keterbukaan Kerajaan Perikatan Nasional, ujarnya.

“Mungkin ketua pemuda pembangkang tersebut boleh bertanyakan kepada mantan menteri Pakatan Harapan sebelum ini, apakah yang dirancang untuk menyelesaikan isu air di Kelantan ketika mereka memerintah negara selama 22 bulan?” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Shahir yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Perlindungan Pengguna SPAN optimis bahawa fasa menaik taraf perkhidmatan bekalan air dilakukan secara berperingkat, merangkumi pelan jangka pendek, sederhana dan panjang.

Katanya, langkah-langkah yang diambil itu bersifat secara keseluruhan dengan menyelesaikan isu pengurusan dan infrastruktur air untuk menampung keperluan bekalan air di Kelantan untuk tempoh masa 30 hingga 40 tahun akan datang.

Jelasnya lagi, antara inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan operator air Kelantan, AKSB, adalah membina Loji Rawatan Air (LRA) Kampung Telok, Kota Bharu, dengan anggaran pembekalan air sebanyak 30 juta liter air sehari kepada rakyat Kelantan.

Beliau menambah, berkenaan isu air di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ), pihak operator air Kelantan, AKSB sedang membina dedicated pipe yang dijangka siap pada Julai 2021.

Pada masa yang sama, ujarnya demi menjamin kesejahteraan rakyat dan pesakit di HRPZ II, pihak AKSB membekalkan air melalui lori tangki sebanyak enam trip sehari dengan jumlah bekalan sebanyak 48 meter padu sehari.

“Beberapa projek LRA akan disiapkan pada tahun ini, termasuklah pembinaan telaga-telaga dan pembaikian paip air terawat demi menjamin kemudahan air terawat diberikan kepada rakyat Kelantan,” katanya.

Ini, jelas beliau bermakna isu air di Kelantan bukan sahaja bakal diselesaikan dalam tempoh jangka pendek, malah optimis akan diselesaikan secara keseluruhan pada masa hadapan.

Menurutnya lagi, adalah menjadi tanggungjawab SPAN untuk mengawal selia industri perkhidmatan air melalui pelaksanaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dengan adil, berkesan dan telus ke arah perkhidmatan air yang mapan, berdaya harap dan termampu untuk semua.

Untuk sebarang maklumat mengenai perkhidmatan air di negara kita, bolehlah mengemukakan cadangan atau aduan kepada [email protected]. Maklumat semasa juga boleh didapati menerusi semua saluran komunikasi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) termasuk Twitter, Facebook, Instagram. – HARAKAHDAILY 8/4/2021

- Advertisement -