Pastikan rakyat dapat akses khidmat kesihatan terbaik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) komited untuk memastikan seluruh rakyat mendapat akses perkhidmatan kesihatan yang terbaik, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat bersama-sama menjaga kesihatan diri dan berusaha mengamalkan gaya hidup yang sihat melalui pemakanan atau diet yang seimbang serta melakukan aktiviti riadah dengan lebih kerap.

- Advertisement -

“Insya-Allah seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) komited dengan usaha untuk pastikan seluruh rakyat Malaysia dan kumpulan bukan warganegara yang menetap di negara ini mendapat akses perkhidmatan kesihatan yang terbaik supaya dapat meneruskan kehidupan yang sempurna,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook beliau, har ini.

Sempena Hari Kesihatan Sedunia, beliau mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih dan syabas kepada seluruh petugas barisan hadapan kesihatan atas usaha dan kerja keras tanpa jemu memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik, terutamanya dalam situasi pandemik Covid-19.

Menurutnya, hari ini merupakan Hari Kesihatan Sedunia yang menandakan sambutan ulangtahun penubuhan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang ditubuhkan secara rasmi pada 7 April 1948.

Katanya, pada tahun ini, sekali lagi Hari Kesihatan Sedunia disambut dalam suasana pandemik Covid-19 yang masih lagi melanda bukan sahaja Malaysia tetapi seluruh dunia.

Beliau berkata, sehingga awal bulan April 2021, lebih 130 juta orang di seluruh dunia telah dijangkiti virus Covid-19 dan mencatatkan lebih 2.85 juta kematian.

Di Malaysia pula, ujar beliau sebanyak 353,329 kes jangkitan Covid-19 telah direkodkan sehingga 6 April 2021 dengan 1,300 kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan.

Tambahnya, walaupun jangkitan Covid-19 di Malaysia telah mula menunjukan trend penurunan, situasinya masih belum stabil.

“Kita telah bersama-sama berdepan dengan ancaman wabak Covid-19, dan harapan saya agar kita akan terus bersama mengharungi fasa pemulihan akibat wabak ini dan memulihkan semula ekonomi negara,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 7/4/2021

- Advertisement -