Menghukum ahli sendiri pamer integriti tinggi

Foto hiasan
- Advertisement -

SAYA sentiasa optimis jika sesebuah parti politik membawa agenda integriti sebagai naratif utama dalam meraih sokongan rakyat, ia akan berkesan. Sejarah kekalahan BN PRU14 kerana isu integriti seperti 1MDB. Sejarah kejatuhan PH 22 bulan juga berkait isu integriti.

Saya menyambut baik penekanan soal integriti dalam artikel baharu Minda Presiden PAS. Satu langkah yang baik untuk terus mendapat sokongan awam.

Kalau ditanya apa agenda Islam yang PAS nak bawa dalam kerajaan, dengan bangganya kita boleh mengatakan, INTEGRITI! Bukankah ia antara mesej utama agama ini?

Cuma laungan integriti tidak boleh sekadar retorik. Ia perlu dilihat secara substance dan praktikal. Kerajaan bukan sahaja perlu bebas dari masalah integriti dan dilihat bersih, mereka juga perlu berani mengambil tindakan terhadap salahlaku integriti walaupun daripada rakan dan sekutu sendiri.

- Advertisement -

Bahkan sekiranya terdapat salah laku dari parti sendiri, kita tidak teragak-agak untuk mendakwa di mahkamah. Ambil semangat bagaimana Rasulullah SAW sanggup memotong tangan anaknya jika dia mencuri.

Dr Fathi Yakan menyebut, antara gejala keciciran dalam jemaah adalah sikap sesetengah anggota yang mengelak dari diambil tindakan atas alasan ukhuwwah. Walaupun salah, kita cuba selindungkan kesalahan kerana menjaga hubungan sesama kita.

Sedangkan al-Quran menjelaskan:

لَّا تَجِدُ قَوۡمٗا يُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ يُوَآدُّونَ مَنۡ حَآدَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَوۡ كَانُوٓاْ ءَابَآءَهُمۡ أَوۡ أَبۡنَآءَهُمۡ أَوۡ إِخۡوَٰنَهُمۡ أَوۡ عَشِيرَتَهُمۡۚ

Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. [Al-Mujadalah: 22]

Bagi PAS, mengambil tindakan terhadap ahli yang melakukan salah laku bukan perkara pelik. Presiden PAS biasa mengulang, tahun 70-an dahulu PAS pernah memecat seorang wakil rakyat kerana menyertai majlis tari menari anjuran BN.

Mungkin ada yang berpendapat tidak mengambil tindakan adalah demi menjaga nama jamaah. Namun sebaliknya, mengambil tindakan adalah lebih menguntungkan nama jamaah di arena politik!

Rakyat akan melihat jamaah ini begitu berintegriti sehingga tidak memilih bulu walaupun ahli sendiri. Sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam mana-mana amalan parti politik, tetapi amat diharapkan rakyat.

Tambahan pula, pasti ada musuh-musuh politik (termasuk yang dalam selimut) sedang mencari kesalahan kita. Segala maklumat salah laku jika ada pasti dalam poket mereka. Menunggu masa yang sesuai untuk diboom.

Mengambil tindakan sebelum diboom musuh adalah sikap pre-emptive yang baik untuk mematahkan rancangan mereka. Perkara ini pernah dilakukan oleh Erdogan dalam mematahkan kudeta Turki 2016. Membuatkan beliau mendapat sokongan lebih tinggi di samping dapat menghapuskan deep-state yang mengganggu pentadbiran.

Akhir-akhir ini, SPRM giat menjalankan kerja membongkar salah laku integriti di berbagai peringkat. Semua pihak sepatutnya memberi kerjasama dan tidak menghalang tugas murni yang mereka lakukan.

Malah demi menyambut baik peranan SPRM, mereka yang didakwa atau disiasat sepatutnya direhatkan dahulu dari sebarang jawatan melibatkan kepentingan awam sehingga kes mereka selesai. Sudah tentu langkah ini akan lebih menyerlahkan ketelusan sesebuah parti atau organisasi.

Apapun, langkah ini perlu mengutamakan matlamat dakwah. Bukan sekadar melihat kepada untung rugi politik semata-mata. – HARAKAHDAILY 7/4/2021

- Advertisement -