Masalah air di Sik, Baling tiada kaitan dengan SADA

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, menafikan masalah bekalan air di beberapa kampung di daerah Sik dan Baling mempunyai kaitan dengan Syarikat Air Darul Aman (SADA).

Katanya, laporan penduduk kampung menerima bekalan air keruh dan bercampur selut itu melibatkan mereka yang menggunakan sistem air masyarakat untuk keperluan harian.

“Sistem air masyarakat adalah inisiatif penduduk kampung. Tiada kaitan dengan SADA. Bila musim hujan air akan keruh dan ada selut tapi hari-hari biasa air jernih dan bersih.

- Advertisement -

“Kalau sebut hari-hari berselut itu tidak munasabah. Saya pun tak percaya,” ujar beliau ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.

Hal demikian berikutan terdapat laporan sebuah akhbar tempatan mengatakan penduduk di sebuah kampung di Baling resah kerana setiap hari menerima bekalan air berselut.

Walau bagaimanapun, kata Sanusi, kerajaan negeri bersetuju membantu membaiki sistem air berkenaan dengan peruntukan sebanyak RM200,000 setiap projek.

“Penduduk kampung sebelum ini buat kutipan wang, seorang RM1 atau RM2 untuk upah menguruskan kolam tadahan.

“Kolam itu kalau tak jaga dengan baik, selut boleh masuk dan tersumbat. Paip pun ada yang rosak. Insya-Allah, pihak kerajaan akan bantu setiap projek RM200,000 untuk membaiki semula kerosakan,” kata beliau.

Sementara itu masalah bekalan air di Kuala Kedah akan selesai apabila projek saluran paip dari Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang siap.

Kata beliau, LRA Pelubang yang akan dimulakan pembinaannya namun mendahulukan projek paip yang dapat membantu masalah bekalan air di beberapa tempat antaranya, Taman Bersatu, Kampung Tepi Laut, Kampung Laksamana di Kuala Kedah.

“Pembinaan LRA Pelubang ini mempunyai dua pakej, loji dan paip. Jadi projek paip akan didahulukan supaya air yang masih ada di Pelubang dapat disalurkan ke kawasan berkenaan.

“Di samping itu melakukan ‘bypass’ di struktur paip sediada yang mempunyai banyak paip-paip kecil yang disalurkan ke taman-taman perumahan persekitaran,” jelas Sanusi lagi.

Sehubungan itu, semua pembinaan lima projek LRA yang dimaklumkan sebelum ini akan berjalan seperti dijadualkan di mana LRA Pelubang yang menelan kos sebanyak RM431 juta akan dimulakan pada 22 April ini. – HARAKAHDAILY 7/4/2021

- Advertisement -