ALHAMDULILLAH. Diberi ruang dan peluang untuk menerangkan beberapa perkara perihal Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam slot ’60 Minit Bersama’ di TV Alhijrah semalam.
Antara perkara yang dikupas adalah mengenai Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0 dan Dasar Sekuriti Makanan Negara (DSMN) yang kini sedang dalam fasa penggubalan. Dijangka DAN 2.0 akan dimuktamadkan dan dilancarkan pada Mei 2021 insya-Allah.
Selain itu, transformasi dalam sektor agromakanan negara juga turut dikupas. Beberapa inisiatif dan insentif pihak kerajaan dalam menjayakan agenda ini terus dipergiatkan sehingga kini.
MAFI telah menerima peruntukan sebanyak RM410 juta yang dapat dimanfaatkan melalui beberapa program dan projek MAFI seperti Program Kebun Komuniti, Projek Pertanian Organik, Program Ladang e-Satelit, Program Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan dan sebagainya.
Kumpulan sasar iaitu petani, penternak dan nelayan terus dibantu terutama yang terjejas akibat pandemik COVID-19 melalui Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE), Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang mana 36 inisiatif telah dirangka di bawah Dana Jaminan Makanan berjumlah RM1 bilion.
Bagi golongan belia pula, Geran Agropreneur Muda (GAM) dan Pembiayaan Agro-YES adalah di antara inisiatif yang dibuat oleh MAFI untuk menggalakkan anak muda menceburi bidang pertanian selain khidmat nasihat teknikal dan latihan atau kursus yang dianjurkan secara intensif.
Sejajar dengan Revolusi Industri 4.0, MAFI juga sedang merangka program-program berteraskan teknik dan teknologi moden atau pintar seperti penggunaan dron yang diintegrasikan dengan internet of thing (IoT), pengurusan tanaman melalui aplikasi internet, pengecaman perosak melalui kecerdasan buatan (A.I.) dan sebagainya bagi meningkatkan kecekapan serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja. Terima kasih kepada pihak TV Alhijrah di atas ruang yang diberikan.
Diharap kupasan dan penerangan yang diberikan semalam dapat memberi pencerahan tentang usaha-usaha MAFI dalam memastikan sumber bekalan makanan negara terus terjamin.
DATO’ CHE ABDULLAH MAT NAWI
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) – HARAKAHDAILY 7/4/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!