Letak jawatan Pegawai Khas MB tidak putus hubungan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Peletakan jawatan Mohamad Fadzil Zolkifli sebagai Pegawai Khas Menteri Besar, bukanlah bermakna hubungan dengan Menteri Besar retak atau putus.

“Saya tidak ada masalah dengan dia (Mohamad Fadzil). Cuma isu itu sahaja tetapi secara personal tiada apa-apa masalah,” ujar Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau secara konsisten menghargai khidmat dan sumbangan pegawai terbabit dan menerima peletakan jawatan itu dengan baik.

- Advertisement -

Berikutan itu, beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha Sulit Pejabat Menteri Besar, Dato’ Amirshah Siraj untuk memohon agar Perhubungan Umno Kedah mengemukakan calon untuk menggantikan kekosongan itu.

Bekas Pegawai Khas berkenaan, dimaklumkan meletakkan jawatannya atas alasan menjaga keharmonian dan hubungan antara PAS dan Umno sebelum ini.

Hal itu juga untuk mengelak isu ucapannya pada Perhimpunan Agung Umno 2020, 28 Mac lalu berpanjangan.

“PAS konsisten dengan Muafakat Nasional (MN). Kalau nak jadikan isu ucapan itu punca perbalahan, kita boleh saja kekalkan isu itu.

“Tetapi jawapannya tidak kerana perpaduan ummah yang dibina lebih penting dan perlu dikekalkan. Isu-isu sebegitu ketepikan.

“Perjuangan untuk kesatuan ummah, umat Islam dan orang Melayu lebih besar menanti kita,” ujar Sanusi kepada pemberita di Wisma Darul Aman, hari ini.

Justeru itu, katanya lagi, kesatuan yang kukuh dan kuat tidak akan tergugat dengan sebab kepentingan diri atau kelompok tertentu. – HARAKAHDAILY 7/4/2021

- Advertisement -