Kedah beri insentif RM25,000 kepada Zii Jia

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia akan menerima insentif sebanyak RM25,000 daripada kerajaan negeri Kedah susulan kejayaannya merangkul kejuaraan All England, bulan lepas.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, insentif itu akan diserahkan dalam satu majlis meraikan pemain berusia 23 tahun itu sebaik sahaja beliau pulang ke Kedah nanti.

Beliau berkata ketika ini, Zii Jia terikat dengan jadual latihan yang padat sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan Olimpik Tokyo.

- Advertisement -

“Jadi kita tidak boleh ganggu jadual latihan beliau, kita sediakan dulu RM25,000 dan apabila beliau balik kita akan serahkan dalam satu majlis yang sudah dirancang,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Pemain yang menduduki ranking kelapan dunia kelahiran Alor Setar itu, muncul juara All England selepas menewaskan juara bertahan dari Denmark Viktor Axelsen pada perlawanan akhir berlangsung di Utilita Arena, Birmingham, 21 Mac lepas.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri juga bersetuju untuk memberikan insentif sebanyak RM10,000 kepada seorang daripada pemain beregu wanita negara juga berasal dari Kedah Pearly Tan yang menjuarai Terbuka Switzerland pada 7 Mac lepas.

Pearly dan pasangannya M. Thinaah menumpaskan pilihan ketiga kejohanan dan ranking ke-14 dunia dari Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva 21-19, 21-12 dalam tempoh 43 minit, di gelanggang St Jakobshalle, Basel.

Kemenangan itu sekali gus merekodkan kejuaraan pertama Pearly-Thinaah dalam kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 300. – BERNAMA

- Advertisement -