Dua direman kes pengamal perubatan ditembak

- Advertisement -

KUANTAN: Polis menahan dua individu bagi membantu siasatan kes pengamal perubatan yang ditemukan maut disyaki ditembak dalam sebuah rumah berhampiran Bukit Rangin Perdana 2, di sini.

Tanpa mendedahkan butiran tangkapan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Datuk Othman Nayan ketika dihubungi Bernama berkata kedua-dua individu terbabit direman selama tujuh hari sehingga 13 April.

- Advertisement -

Pada 4 April lepas, Mohamad Abdul Rahim Nasri, 31, ditemukan maut kira-kira pukul 11 malam, dengan kesan darah kering di kepala serta mempunyai luka tembakan.

Ketika kejadian difahamkan lelaki itu tinggal berseorangan di rumah kerana isterinya sedang berpantang di rumah keluarganya di Pekan selepas melahirkan anak manakala ibu mangsa berusia 60 tahun yang tinggal bersamanya pula dikatakan keluar berniaga.

Polis sebelum ini dilaporkan tidak menolak kemungkinan kejadian bermotifkan dendam atau marah dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

- Advertisement -