Capal, bumi rata dan SOP bulan madu

- Advertisement -

KITA sering mahu jadi lain daripada yang lain. Benci menjadi ‘ordinary’. Dalam konteks positif, ia bagus. Kita tidak mahu jadi ‘bishe bishe’. Kita mahu terkehadapan dalam melakukan kebajikan. Lantas imej Ustaz Ebit Lew menerpa. Bukan biasa-biasa pertolongannya.

Kita tak mahu jadi anggota polis yang biasa-biasa, yang dicop pelbagai oleh masyarakat. Lantas terjelma imej Datuk Ayob Khan, Ketua Polis Johor yang bagaikan panglima perang, tidak gentar dengan gengster dan kongsi gelap. Baguslah luar biasa begini.

Negatifnya pula, kita mahu lain daripada yang lain sehingga kepercayaan kita memeningkan orang lain. Kita rasa kita hebat, dan lain. Kita anggap kitalah ‘ghuraba’’. Dalam agama, yang pelik itu istimewa bagi kita. Mungkin ada ajaran yang tidak sampai kepada umat yang ramai, tetapi sampai kepada segelintir kita. Mungkin takrifan dan amalan ramai ulamak itu kurang tepat, takrifan dan amalan ‘ulamak’ kita lebih istimewa.

- Advertisement -

Bumi itu bulat itu ‘mainstream’. Kita kata bumi itu leper cakera. Itu lebih bijak kerana menolak kelaziman. Kita pula rasakan ayat Quran dan Hadis (yang ditempel-tempel tafsirannya) menyokong. Lantas fahaman bumi leper ini kita agungkan, dan pertahankan. Tiada apa-apa faedah, tapi kita bangga dengan kelainan kita.

Capal itu tempatnya di kaki. Capal Baginda Rasul entah di mana. Bentuk capal Baginda hanyalah bentuk, bersamaan dengan bentuk-bentuk lain seperti bentuk serban, jubah, cincin, tasbih, rumah, mihrab dan sebagainya. Tidak pula kita lambangkan serban Rasul atau baju Baginda. Kita pakai yang serupa atau setara kerana mencintai Sunnah Baginda. Maka apa istimewanya bentuk capal? Unik itu betul. Ditiru untuk buat capal getah, saya rasa masih tidak mengapa. Tetapi kita mahu lain dari yang lain. Kita lambangkan ia sebagai satu trenda. Luar biasa.

Ketika COVID-19 masih melanda, kita pula berbulan madu. Dengan SOP katanya. Kalau majlis kahwin dengan kehadiran terhad itu terlalu biasa. Kita bukan orang biasa. Maka majlis kita mesti lebih rapat, mesra dan mewah. Kita pula mesti berbulan madu sambil berniaga dengan kebenaran polis mengikut SOP.

Itu baru luar biasa. Tidak, kita tidak mahu jadi biasa-biasa. Kita tidak mahu percaya bumi itu sfera, kita tidak mahu pakai capal hanya di kaki, kita tidak mahu tangguh bulan madu selepas PKP. Itulah kita. 

Dan Malaysia? Tatkala orang lain berbicara mengenai nanoteknologi, kecerdasan buatan dan kajian vaksin, kita masih bicara mengenai capal, bumi rata dan bulan madu. Gaduh di media? Itu adalah makanan harian kita.

YUSFARIZAL YUSSOFF – HARAKAHDAILY 7/4/2021

- Advertisement -