Wan Rosdy istiqamah pertahan Muafakat Nasional

Foto daripada Facebook Wan Rosdy bin Wan Ismail.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan beliau tetap dengan pendirian serta beristiqamah untuk mempertahankan Muafakat Nasional demi agama, bangsa dan tanah air.

Pada hari ini, beliau mengadakan perjumpaan bersama Jawatankuasa Veteran Umno dan As-Sabiqun PAS Negeri Pahang di Dewan MB, Jalan Teluk Sisek, Kuantan.

- Advertisement -

Menurutnya, pertemuan itu merupakan julung-julung kali diadakan melibatkan orang-orang lama dalam parti.

“Agenda penyatuan ummah tetap saya utamakan kerana perkara ini memberi kebaikan kita Bersama,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata, Pahang sentiasa berada di hadapan dalam penyatuan ummah.

“Ini terbukti dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands dan Chini, kita menperoleh kejayaan yang cemerlang.

Tambahnya, penyatuan itu juga terselah dalam urusan pentadbiran kerajaan dan juga persidangan Dewan Negeri di mana sokongan daripada Ahli Dewan Negeri Barisan Nasional dan PAS mencapai 2/3 undi daripada 42 kerusi Dewan Negeri Pahang bagi meluluskan rang undang-undang.

Menerusi Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Barisan Nasional mempunyai 25 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Pahang sementara PAS lapan kerusi. – HARAKAHDAILY 6/4/2021

- Advertisement -