Ramadan: Persediaan terima jemaah umrah selesai

- Advertisement -

MEKAH: Pengurusan Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Masjidil Haram dan Masjid Nabawi selesai melakukan semua persiapan untuk menerima jemaah umrah yang sudah divaksin pada Ramadan nanti, dengan protokol kesihatan dan langkah pencegahan yang ketat.

Agensi Berita Arab Saudi melaporkan perkara itu selaras dengan aplikasi Tawakkalna untuk kategori imunisasi (Individu yang telah menerima dua dos vaksin Covid-19 / Individu yang telah 14 hari divaksin dos pertama Covid-19 / Individu yang telah sembuh dari jangkitan).

- Advertisement -

Menurut jurucakapnya Hani bin Hosni Haider pihak pengurusan mewajibkan semua pekerja yang terlibat turut disuntik vaksin bagi memastikan keselamatan mereka dan semua pengunjung Masjidil Haram.

Beliau berkata kerja-kerja pensterilan akan dilakukan secara kerap di Dua Masjid Suci itu, dan dipergiat sempena kedatangan Ramadan.

Seramai 5,000 pekerja terbabit dalam operasi pensterilan dan pembasmian kuman. Pembersihan dan pensterilan di seluruh Masjidil Haram dilakukan sehingga 10 kali sehari.

Berkenaan umrah, jurucakap itu berkata pihak pengurusan memperuntukkan halaman Mataf untuk jemaah Umrah sahaja, membuat 14 laluan maya untuk tawaf (tawaf), dengan mempertimbangkan jarak fizikal, dan tiga laluan paling hampir dengan Kaabah ditetapkan untuk warga emas dan orang kurang upaya.

Katanya, pihak berwajib akan memastikan semua langkah pencegahan akan dilaksana dengan teliti .

Beliau juga meminta semua jemaah untuk bekerjasama dan mematuhi langkah-langkah pencegahan serta  jarak fizikal demi  kesihatan dan keselamatan mereka. – BERNAMA

- Advertisement -