Ramadan: Kerajaan jamin bekalan makanan cukup

- Advertisement -

TUMPAT: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi jaminan bekalan makanan asas bagi keperluan rakyat sepanjang Ramadan mencukupi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Dato’ Seri Ahmad Hamzah berkata, bekalan seperti ikan, ayam dan daging sering mendapat permintaan tinggi sepanjang Ramadan.

Katanya, kementerian membuat persiapan awal bagi memastikan kesemua barangan keperluan asas mencukupi bagi memenuhi permintaan rakyat.

- Advertisement -

Beliau juga berkata selain produk dikeluarkan dalam negara, kerajaan turut mengimport bahan makanan untuk memastikan bekalan mencukupi.

“Setiap kali Ramadan termasuk musim perayaan, kita sentiasa membuat pengukuran tentang permintaan sebenar berbanding stok yang ada.

“Jadi kita beri jaminan bekalan makanan akan mencukupi dan stabil,” katanya kepada pemberita pada Program Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin Nelayan Parlimen Tumpat di Jeti Pendaratan Ikan, Tanjung Che Mas, di sini baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Dato’ Che Abdullah Mat Nawi.

Terdahulu beliau menyampaikan bantuan pembangunan pelan peningkatan pendapatan golongan B40 sebanyak RM50,000. Bantuan itu disalur menerusi program tanaman kontan kepada 50 nelayan di Tumpat.

Selain itu sebanyak RM20,000 disumbang dalam bentuk bantuan ‘touch point’ iaitu peralatan pemasaran ikan kepada 80 nelayan.

Manakala sebanyak RM65,000 pula disampaikan sempena bantuan projek khas perumahan nelayan (PKPN), bagi program baik pulih kediaman lima nelayan.

Ditanya mengenai peningkatan harga makanan haiwan yang naik mendadak, Ahmad berkata, ia berlaku disebabkan bahan berkenaan diimport dari luar negara.

“Bagaimanapun, kita minta kalau boleh jangan sampai ia mengakibatkan harga jualan terus meningkat.

“Malah kita juga turut mengadakan pertemuan dengan pengeluar-pengeluar makanan, terutama ayam dan telur susulan rungutan yang diterima,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/4/2021

- Advertisement -