Zii Jia intai status pemain nombor satu dunia

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Jaguh badminton perseorangan negara Lee Zii Jia memberikan dirinya masa dua tahun untuk mencapai status sebagai pemain nombor satu dunia selepas melangkah ke senarai kelompok lapan pemain terbaik baru-baru ini.

Pemain berusia 23 tahun itu berkata mengekalkan permainan yang lebih stabil merupakan salah satu kelemahan dirinya semasa beberapa kejohanan lalu namun sedang berbincang dengan jurulatih untuk memperbaiki strateginya.

“Saya rasa satu atau dua tahun untuk cuba mengatasi masalah ini dan jadikan permainan lebih stabil. Harap boleh jadi pemain nombor satu dunia selepas itu,” katanya kepada pemberita selepas bertemu Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Mercan di pejabatnya di sini hari ini.

- Advertisement -

Pertemuan tersebut turut disertai juara beregu wanita Terbuka Switzerland Pearly Tan-M.Thinnah, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi.

Mengenai Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini, Zii Jia, selaku juara All England, berkata beliau seperti pemain lain mahu menyasarkan pingat emas namun banyak faktor lain perlu dipertimbangkan terutama tekanan yang bakal dihadapi pada temasya sukan terbesar itu.

“Saya mahu menjadikan Sukan Olimpik Tokyo sebagai satu pengalaman dan memberikan yang terbaik tanpa sebarang tekanan,” katanya.

Mengenai sistem permarkahan baharu 11 mata dalam lima set yang sedang dibincangkan untuk dilaksanakan selepas Sukan Olimpik Tokyo, Zii Jia berpendapat ia akan memberi manfaat kepada pemain menyerang seperti dirinya.

“Saya rasa agak cergas untuk sistem permarkahan 11 mata kerana saya sering menggunakan strategi serangan dalam perlawanan. Perubahan dalam sistem permarkahan bermakna saya perlu mengamalkan sistem latihan berbeza dan perlu menyesuaikan diri dengan secepat mungkin,” katanya.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dilaporkan akan mengadakan undi berhubung sistem baharu itu iaitu 21 mata dalam tiga set (21×3) kepada 11 mata dalam lima set pada mesyuarat agung tahunan badan induk dunia itu bulan depan.

Sementara itu, Reezal Merican berkata seramai 264 atlet dan pegawai yang sudah dan sedang berusaha untul layak ke Sukan Olimpik Tokyo akan menertima dos pertama suntikan vaksin COVID-19, minggu depan.

Katanya, ia akan diikuti oleh pemain Liga Malaysia (Liga-M) dan atlet yang membuat persiapan ke Sukan SEA Hanoi 2021, November ini. – BERNAMA

- Advertisement -