Ramadan tahun lalu

- Advertisement -

BEBERAPA hari saja lagi kita akan sampai ke bulan Ramadan. Bulan yang sangat berkaitan dengan berpuasa. Teringat masa kecil dulu bila Ramadan tiba, apa yang difikirkan adalah kekangan daripada makan di siang hari. Terasa betapa beratnya nak tunaikan puasa. Tetapi apabila tiba di hujung Ramadan, rasa hati semakin seronok apabila Raya akan menjelang tiba. Itu waktu dulu-dulu…

Sedangkan sebenarnya yang perlu disambut dan diberikan keutamaan adalah ketibaan bulan Ramadan yang mulia ini. Tahun lalu kita menyambut Ramadan dalam suasana PKP yang menyebabkan sebahagian besar daripada kita tidak dapat menunaikan Solat Terawih seperti biasa di masjid atau surau. Sebahagian besar bersolat secara berjamaah di rumah masing-masing. Ayah menjadi imam dan isteri serta anak-anak menjadi makmum. 

- Advertisement -

Ada di kalangan kenalan saya yang beritahu, jika tak kerana PKP maka mungkin mereka tak ‘merasa’ untuk menjadi Imam solat Terawih. Saya percaya ramai yang merasai pengalaman pertama seperti ini. Sudah pasti, ramai yang tidak sabar untuk berjamaah di masjid atau surau pada malam pertama 1 Ramadan. Terasa rindu yang teramat sangat dengan suasana ini. Walau bagaimanapun, kita mesti terus patuhi SOP yang telah ditetapkan oleh MKN.

Begitulah istimewanya Ramadan. Ada sebuah Hadis Nabi Muhammad S.A.W menggariskan lapan keistimewaan bulan Ramadan jika dibandingkan dengan 11 bulan yang lain;

PertamanyaSyahrun Azhim atau bulan yang Agung. Allah Yang Maha Pemurah Penyayang telah menetapkan dan mensucikan bulan ini dan kemudiannya memberikan segala kemurahan, kasih sayang, dan kemudahan bagi hamba-hamba yang ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Keduanya, Syahrul Mubarak iaitu Bulan Keberkatan. Bulan Ramadan penuh keberkatan dan manfaat. Amal baik sekecil mana sekalipun akan dilipatgandakan asalkan ikhlas.

Ketiganya, Syahru Nuzulil Qur’an iaitu Bulan Quran Diturunkan. 

Keempat, Syahrus Siyam atau bulan berpuasa. 

Kelima, Syahrul Qiyam iaitu bulan yang menggalakkan umat Islam untuk melakukan amalan orang-orang soleh seperti solat dan membaca al-Quran. 

Keenam, Syahrus Sabr iaitu Bulan Sabar. Bulan Ramadan melatih jiwa Muslim untuk sentiasa sabar, tidak mengeluh dan tahan uji di dalam keadaan lapar dan dahaga.

Ketujuh, Syahrul Musawwah iaitu Bulan Santunan. Bulan ini mengajar dan mendidik jiwa kita untuk bersimpati dan menyantuni golongan fakir miskin kerana merasakan lapar dan dahaga sebagaimana yang biasa dirasai oleh golongan tersebut.

Kelapan, Syahrul Yuzdaadu fiihi Rizqul Mu’min iairu Bulan Rezeki Untuk Orang Mukmin. Bulan ini rezeki orang-orang beriman bertambah kerana segala kemudahan dibuka oleh Allah S.W.T seluas-luasnya.

Mudah-mudahan Allah S.W.T temukan kita dengan bulan Ramadan kali ini. Mudah-mudahan juga Ramadan kali ini dapat dilalui sebagai Ramadan terbaik dalam hidup kita.

Sekian, wassalam.

KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL – HARAKAHDAILY 5/4/2021

- Advertisement -