Potret iman vs potret capal

- Advertisement -

MENGASIHI, merindui dan mentaati Nabi ialah ibadah yang turut diajar tatacaranya dalam Islam. Menempatkan diri fisabilillah dan berpegang teguh dengan Sunnah Rasul adalah bukti kita mengasihi Rasul, yang tiada khilaf padanya:

- Advertisement -

وَكَأَيِّن مِّن نَّبِيٍّ قَاتَلَ مَعَهُ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُوا لِمَا أَصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا اسْتَكَانُوا ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ 

“Dan berapa ramai Nabi yang berjuang, bersama mereka pengikut-pengikut yang bertaqwa yang ramai. Mereka tidak merasa terhina dengan cabaran yang ditempuhi sepanjang berada di jalan Allah, mereka tidak lemah dan mereka tidak menyerah kalah. Allah amat mengasihi golongan yang sabar.” 

(Ali Imran: 146)

Dalam sebuah Hadis pula, Rasulullah memberi pengiktirafan kepada para Hawari dalam kalangan pengikut Baginda:

مَا مِنَ نَبِيٍّ بَعَثَهُ اللهُ فِي أُمَّةٍ قَبْلِي إِلاَّ كَانَ لَهُ مِنْ أُمَّتِهِ حَوَارِيُّونَ وَأَصْحَابٌ يَأْخُذُونَ بِسُنَّتِهِ وَيَقْتَدُوْنَ بِأَمْرِه، ثُمَّ إِنَّها تَخْلُفُ مِنْ بَعْدِهِمْ خُلُوفٌ يَقُولُونَ مَالَايَفْعَلُونَ، وَيَفْعَلُونَ مَالاَ يُؤْمَرُونَ، فَمَنْ جَاهَدَهُم بِيَدِهِ فَهُو مُؤْمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِقَلْبِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِلِسَانِهِ فَهُو مُؤْمِنٌ، وَلَيْسَ وَرَاءَ ذلِكَ مِنَ اْلإِيْمَانِ حَبَّةُ خَرْدَلٍ .

رَوَاهُ مُسْلِمٌ

“Dari Ibn Mas’ud R.A, beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda,

“Tiada seorang Nabi pun yang diutus oleh Allah sebelumku, melainkan mereka mempunyai beberapa orang Hawari (penolong atau pengikut setia) dalam kalangan umatnya, juga beberapa Sahabat, yang mengambil teladan dengan Sunnahnya serta mentaati perintahnya. Selanjutnya sesudah mereka akan diganti dengan beberapa orang pengganti yang suka mengatakan apa yang tidak mereka lakukan, bahkan juga melakukan apa yang mereka tidak diperintahkan. Maka barangsiapa yang berjuang melawan mereka dengan tangannya, maka dia adalah seorang mukmin, barangsiapa yang berjuang melawan mereka dengan lidahnya, diapun seorang mukmin dan barangsiapa yang berjuang melawan mereka dengan hatinya, juga seorang mukmin. Selain itu, tidak ada keimanan sebesar biji sawi pun.”

(Hadis Riwayat Imam Muslim)

(1) Kriteria Hawari atau pengikut setia Nabi:

(a) Sentiasa merujuk teladan Sunnah Nabi dalam apa jua urusan.
(b) Mentaati perintah Nabi S.A.W.

(2) Sikap yang perlu diwaspadai para pengikut Nabi:

(a) Berkata apa yang tidak mereka perbuat.
(b) Melakukan apa yang tidak diperintahkan.

Simbol dan Syiar Islam

ذَلِكَ وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوبِ 

“Demikianlah (perintah Allah). Dan barangsiapa mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketakwaan hati.”

(al-Hajj: 32)

Salah satu ayat al-Quran yang menerangkan makna syiar Allah sebagai perintah-Nya. Setiap ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah, itulah syiar agama kita. Termasuk berbuat ihsan sesama manusia, sama ada Muslim ataupun kafir. Ayat al-Hajj tadi dihuraikan oleh Hadis Nabi dengan perbuatan ihsan terhadap haiwan korban.

Kefahaman daripada nas tersebut menjelaskan bahawa syiar Islam ialah pada amalan soleh. Praktikaliti ihsan itu adalah syiar yang lebih jelas berbanding simbol-simbol lain yang boleh dikaitkan dengan agama.

Kebimbangan kita

Selain simbol capal yang telah melarat menjadi simbol agama Brelwi, kita perlu merenung iktibar daripada kisah sejarah.

Kaum Nabi Nuh asalnya berniat baik, mahu kekal menyanjungi orang soleh mereka yang dikasihi, mula melakar potret tokoh ulamak tersebut. Lama kelamaan melarat hingga dijadikan ukiran arca. Patung tersebut akhirnya dijadikan berhala sembahan mereka. Kisah syirik pertama dalam sejarah peradaban manusia.

Buddhapada dan Buddharupa

Dalam sejarah tamadun India pula, bagi menzahirkan keteguhan beragama pengikut Buddha, batu Buddhapada (tapak kaki Buddha) mula diperkenalkan pada kurun pertama sebelum Masihi. Pada zaman tersebut, Buddha atau Siddharta Gautama biasa ditampilkan dengan simbol secara ikonik sahaja tanpa ada ukiran wajah Buddha seperti hari ini. Menurut catatan sejarah, sebelum Buddha diimejkan dengan ukiran wajah, ia dahulunya diwakili simbol-simbol ajaran mereka seperti turban, Dharmachakra dan Buddhapada (kesan tapak kaki).

Buddharupa atau ukiran Buddha secara fizikal mula muncul hanya setelah beberapa kurun Masihi. Soal iman, kesetiaan, dan ikutan Rasul cukup kita bersungguh-sungguh pada apa yang jelas melalui sumber al-Quran dan Hadis. Justifikasi meletakkan simbol capal di kepala bagi mengingatkan kedudukan Nabi pun, tidaklah kerana keperluan mendesak melainkan hanya selera hati kita.

Jika kita telusuri Sirah Tarbiyah Nabi terhadap para Sahabat, kita akan memahami betapa kasih dan prihatin Nabi terhadap umat, sehingga Baginda tidak pernah meletakkan kepala kita di kaki Baginda. Baginda menunjukkan sunnah perhubungan yang terbaik sesama Sahabat, antara guru dan murid, bapa dan anak, Rasul dan umat untuk kita ikuti. Rekod Hadis Tarbiyah Nabawi ini bukan sekadar bacaan hiburan tetapi merupakan ajaran akhlak dan tasawuf yang sebenar.

Baginda memuliakan kanak-kanak, meraikan permintaan dan menghormati perasaan mereka. Baginda menghormati golongan tua dan melindungi kaum wanita. Baginda seorang Nabi yang teramat ramah, prihatin dan sporting terhadap umat. Termasuk dalam kebimbangan Baginda ialah perbuatan yang asalnya berniat baik, tetapi melarat ke arah pintu syirik:

لَا تُطْرُونِي كما أَطْرَتِ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ؛ فإنَّما أَنَا عَبْدُهُ، فَقُولوا: عبدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ.

“Janganlah kalian berlebih-lebihan dalam memujiku, sebagaimana orang Nasrani telah berlebih-lebihan memuji ‘Isa putera Maryam. Maka katakanlah : “Hamba Allah dan Rasul-Nya”.”

(Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari)

Dalam Hadis tersebut Rasulullah memerintahkan para Sahabat memanggil Baginda sebagai hamba Allah dan Rasul-Nya. Rasulullah menggabungkan dua sifat dalam satu panggilan iaitu sifat Ubudiyah dan sifat pembawa risalah. Penggabungan dua sifat tersebut bagi mengelakkan umatnya dari terjerumus dalam dua kelompok ekstrem: Terlalu mendewakan Nabi, dan mengabaikan keistimewaan Nabi selaku pembawa risalah hingga menafikan kemuliaan Baginda. 

Seperti Musyrikin dahulu yang menempelak Rasulullah berdakwah seorang diri tanpa diiringi malaikat. Mengimani sifat Ubudiyyah dan pembawa risalah Baginda menjadikan kita umat pertengahan, beriman seperti yang dididik Nabi S.A.W.

Sebaliknya dalam tradisi India Kuno, pendewaan (veneration) terhadap tapak kaki Buddha merupakan pandangan biasa ketika itu, dengan menjunjung tapak kaki Buddha di atas kepala mereka sebagai gerak ritual menggambarkan hierarki dalam agama mereka.

Bersyukur atas nikmat ilmu dan petunjuk agar kita dapat sentiasa mengikuti ajaran Islam dan menjauhi kebiasaan agama lain. Semoga Allah mengampuni golongan yang jahil dan mengangkat darjat golongan berilmu.

Wasiat Rasul

Antara wasiat Rasulullah S.A.W yang dicatat para perawi berbunyi:

إِيَّاكُمْ وَالْغُلُوَّ فِي الدِّيْنِ، فَإِنَّمَا أَهْلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ اَلْغُلُوُّ فِي الدِّيْنِ.

“Jangan kalian ghuluw (berlebih-lebihan) dalam urusan agama. Sesungguhnya umat sebelum kalian celaka kerana sikap tersebut.”

(Hadis Riwayat Imam Ahmad, an-Nasaie dan Ibn Majah)

Ikuti pesan dan wasiat Nabi tanda kasih kita pada Baginda. Kita akan sedar, sebenarnya kita tidak memerlukan potret capal. Cukup potret iman kita dengan menyuburkan budaya amar makruf nahi mungkar sesama kita, umat Nabi Muhammad S.A.W.

SOFIA ALWANI ALI
5 April 2021 – HARAKAHDAILY 5/4/2021

- Advertisement -