Penyatuan ummah mampu elak PH bangkit semula

- Advertisement -

PASIR PUTEH: PAS Kelantan tetap berusaha menyatu-padukan ummah walaupun rakan dalam Muafakat Nasional (MN), Umno menolak hubungan dengan Bersatu.

- Advertisement -

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, agenda tersebut merupakan benteng utama bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak kembali berkuasa.

Menurutnya, kenyataan serta semangat pimpinan PAS terhadap penyatuan Melayu dan Islam tidak pernah pudar, walaupun sering menjadi bahan sindiran, tohmahan dan provokasi pembangkang.

“Bagi PAS, kita masih berusaha untuk menyatu ummah, jadi kenyataan kepimpinan kita sememangnya selari baik dari utara tanah air hingga selatan, Sabah dan Sarawak tidak berubah.

“Nada penyatuan ummah sangat diperlukan rakyat Malaysia khususnya orang Melayu Islam. Penyatuan dan perpaduan penting walaupun wujud kata-kata tidak enak, sindiran dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian pelancaran produk beras wangi tempatan di Pusat Belian Padi di Kampung Banir Belikong Selising hari ini.

Turut hadir Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Ustaz Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dan Timbalan Exco Abdul Azziz Kadir.

Umno Kelantan sebelum ini bertindak memutuskan hubungan dan kerjasama dengan Bersatu dan mendesak PAS membuat pendirian jelas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Che Abdullah yang juga Ahli Parlimen Tumpat itu berkata, pendirian PAS Kelantan akur terhadap keputusan yang dilakukan PAS pusat iaitu memperkukuhkan MN dan mempertahan Perikatan Nasional (PN).

Malah PAS Kelantan katanya, turut menubuh Badan Perhubungan Negeri PN yang dipengeruskan Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob. – HARAKAHDAILY 5/4/2021

- Advertisement -