Menutup aib orang adalah ciri peribadi Muslim

Foto hiasan.
- Advertisement -

SALAH satu ciri akhlak Islam ialah menutup aib seorang. Ketika seseorang muslim melihat yang lain memerlukan ainnya ditutup ia pun menutup. Ketika ia memerlukan pertolongan ia pun menolongnya.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: “Barangsiapa meringankan beban seorang muslim di dunia maka Allah akan meringankan bebannya pada hari kiamat dan barang siapa yang menutup aib seorang muslim maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan di akhirat. Allah sentiasa menolong hamba selama hamba itu menolong saudaranya.” (Muslim dan Abu Daud)

Keuntungan dari menutup aib seorang muslim di dunia maka Allah di akhirat nanti akan menutup ainnya serta memberi pahala yang banyak. Pada hari akhirat iaitu hari yang semua rahsia apa pun akan terbongkar dan perkara apa pun tidak boleh disembunyikan.

- Advertisement -

Tetapi perlindungan Allah akan sentiasa bersama-sama dengan orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang mahu melindungi hamba-hamba Allah di dunia. Tidak mendedahkan rahsia mereka dan tidak membuka keaiban mereka.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Tidaklah seorang hamba menutup aib hamba yang lain di dunia kecuali pada hari kiamat akan menutup aibnya.” (Muslim)

Menutup aib seorang bukan bererti menyembunyikan kemungkaran dan bukan bererti membiarkan kemaksiatan. Dengan menasihatinya dan menjaga kehormatan dan kemuliaannya.

Masalah maksiat dan kemungkaran memang menjadi kewajiban setiap muslim untuk menghalangnya. Jika dia boleh mengubah kemungkaran itu dengan kekuatannya maka dia mesti mengubah. Tetapi jika dia hanya mampu mengubah dengan lidahnya maka dia pun mengubah dengan lisannya. Jika dengan kedua-dua pun tidak mampu, dia mesti mengubahnya dengan hati iaitu tanda iman yang paling lemah.

Iman Nawawi Rahimahumallah menyatakan bahawa maksud menutup aib disini ialah menutup cacat seorang yang sudah diketahui tidak menyebarkan penyakit dan kerosakan. Manakala orang yang sudah dikenali suka menyebabkan orang lain dan melakukan kejahatan ia perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa. Jika tidak, akan menyebabkan banyak kerosakan.

Sabda Nabi s.a.w bermaksud: “Barang siapa yang menutup aib seorang muslim maka Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat.”

Dengan ini jelaslah bahawa di antara hak, seorang muslim atas saudara muslimnya ialah menutup auratnya serta menjaga kehormatannya. Manakala menyakiti orang-orang Islam dengan cara membuka rahsia dan kecacatannya adalah merupakan dosa besar.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia yang telah masuk Islam dengan lisannya dan kemahuannya yang belum sampai di hati, janganlah kamu menyakiti orang-orang Islam dan janganlah kamu membuka aurat mereka kerana sesungguhnya siapa yang membuka aurat (aib) saudaranya sesama Islam maka Allah akan membuka auratnya. Dan sesiapa yang auratnya dibuka oleh Allah maka ia akan dinampakkannya sampai ke hujung hayat. Lalu pada suatu hari Ibnu Umar melihat ke arah Kaabah dan menyatakan, alangkah agongnya engkau dan alangkah agungnya kehormatan mu dan orang-orang yang beriman, di sisi Allah mempunyai kehormatan yang agung. (Tarmizi dan Ibnu Hiban) – HARAKAHDAILY 5/4/2021

- Advertisement -