Letak jawatan demi jaga keutuhan MN Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Biarpun Ketua Pergerakan Pemuda Umno Kedah, Mohamad Fadzil Zolkipli meletakkan jawatan sebagai pegawai khas Menteri Besar Kedah, namun hubungan Muafakat Nasional (MN) masih lagi terjalin erat.

Peletakan jawatan itu berberkuat kuasa semalam selepas ucapannya pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 diviralkan.

Pada 28 Mac lepas, ketika berucap sebagai perwakilan Pemuda Umno beliau mendakwa dibuli pegawai khas lain di pejabat Menteri Besar Kedah berkaitan isu i-Sinar dan moratorium.

- Advertisement -

Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan pegawai kanan di Pejabat Menteri Besar.

Malah dakwaan berkenaan juga dinafikan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor dan menyangkal wujud pilih kasih terhadap pegawainya.

Mohamad Fadzil berkata, tindakannya meletak jawatan untuk menjaga hubungan MN di Kedah dan tidak mahu isu terbabit berpanjangan.

“Perletakan jawatan saya kerana sayangkan MN dan tidak mahu memperlihatkan seolah-olah kedua-dua parti bergaduh.

“Saya tidak mahu isu tersebut memperlihatkan MN Kedah rapuh dan sedang bergaduh,” katanya ketika sidang media di sebuah hotel di sini semalam.

Beliau juga berharap supaya isu tersebut tidak dipolitikkan mana-mana pihak
demi kecintaan semangat MN.

“Saya tidak menyimpan marah atau dendam kepada sesiapa. Saya juga sangat berbesar hati dapat berjumpa Menteri Besar kerana sejak isu tersebut tular kami masih belum bersemuka,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/4/2021

- Advertisement -