Kerajaan PN prihatin keperluan rakyat

- Advertisement -

PADANG BESAR: Program Bakul Makanan yang mengandungi barangan makanan keperluan harian bernilai RM100 kepada setiap isi rumah yang layak memberi makna besar kepada rakyat.

Yang Dipertua PAS Padang Besar, Abdul Karim Mat Rejab Abdul Karim berkata, program bantuan tersebut setidak-tidaknya dapat menggembirakan rakyat menjelang Ramadan tidak lama lagi.

Katanya sumbangan melalui Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) jelas menggambarkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) begitu prihatin terhadap keperluan rakyat.

- Advertisement -

“Malah kerajaan juga meningkatkan kadar bantuan kebajikan bulanan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kerajaan PN dilihat sentiasa memahami denyut nadi rakyat dan InsyaAllah lebih ramai yang memerlukan bantuan akan kita bantu,” katanya pada program tersebut di Kompleks Tarbiyah PAS Kawasan Padang Besar (KOMTAR) semalam.

Turut hadir pada program berkenaan Pesuruhjaya PAS Perlis Mohd Shukri Ramli dan Ketua Majlis Pimpinan Bersatu Padang Besar Izizam Ibrahim.

Sementara itu dalam perkembangan lain Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Mohd Yusof merasmikan program Komuniti Perkampungan Madi yang diadakan pada Jumaat dan Sabtu lepas.

Pada program terbabit turut diadakan Kem Remaja Islam Kampung Madi bagi membentuk generasi muda mengikut acuan Islam.

Pengerusi program berkenaan Ustaz Rosmadi Ramli berkata, pembinaan generasi muda menurut kehendak syarak tidak boleh dipandang ringan kerana mereka yang akan mewarisi kepemimpinan negara pada masa akan datang.

“Kehidupan mereka perlu diisi dengan pelbagai aktiviti dan pengisian yang menepati kehendak Islam untuk memperteguh keimanan di samping mengelakkan terpengaruh anasir tidak sihat,” ujarnya.

Pelbagai aktiviti diadakan sempena program tersebut termasuk solat berjemaah, motivasi remaja, persembahan Qasidah, tayangan filem dakwah dan kuliah Subuh. – HARAKAHDAILY 5/4/2021

- Advertisement -