Ini formula PAS tangani kemelut Umno-BERSATU

Umno
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS dan Umno pernah berbalah dan bertembung selama 60 tahun bukan sahaja dalam pilihan raya, bahkan juga di peringkat kampung, kenduri kendara, hatta di masjid pernah berlaku solat dua imam.

- Advertisement -

Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden berkata, tetapi kini keduanya boleh duduk sekali dan kebanyakan kerajaan negeri pula dipimpin bersama PAS, Umno dan BERSATU.

Demikian itu yakininya, PAS pasti dapat membawa Umno dan BERSATU untuk akhirnya mempertautkan kembali hubungan yang seperti adik-beradik demi kepentingan agama Islam, rakyat dan negara ini.

“Apalah sangat kalau setakat 22 bulan ataupun dua tiga tahun ini? Kami (PAS) sangat optimis dan yakin walaupun (Umno-BERSATU) tak geng, tapi selepas ini akan jadi geng dan boleh berkawan insya-Allah,” ujarnya.

Beliau membicarakan topik “Antara PN dan MN: Mana Satu Pilihan PAS?” pada Sinar Live yang dihoskan oleh wartawan Sinar Harian, Raziatul Hanum A Rajak @ Atan secara atas talian kelmarin dahulu.

“Dalam adik-beradik ini ada masa dia terasa hati, ada masa dia duduk boleh bincang baik balik. Jadi itu biasalah dalam berkawan, kalau sebut tak terasa hati langsung, tak kecewa langsung, mustahil, mesti ada perasaan yang terguris.

“Tapi kita masih lagi menganggap itu adik kita, itu abang kita. Jadi macam mana pun, mak ayah pesan dah hangpa jangan duduk berkelahi adik-beradik. Hangpa mesti hidup pakat elok, ha, orang Kedah kata kan.

So, bila jumpa masa mati, masa kenduri kahwin, mesti akan duduk sekali adik-beradik. Nak cari tempat lain tak ada, ini darah daging kita. Jadi walaupun ada perbezaan ada pertelingkahan dari segi sedikit sebanyak perbezaan pendapat, adik-beradik tetap adik-beradik. Air dicincang tak akan putus,” katanya.

Akui beliau, awal dahulu hubungan PAS-Umno itu sememangnya mengejutkan akar umbi masing-masing yang sukar menerima, tetapi dengan penerangan dan kefahaman diberi, kedua pihak komited hingga melahirkan Muafakat Nasional (MN).

Malah perkara tersebut menurutnya, dapat dilihat pada siri-siri PRK yang berlangsung di mana jentera PAS turut bersungguh-sungguh membantu gerak kerja dan memenangkan semua calon Umno dan BN di seluruh negara.

Katanya, jika dahulu PAS dan Umno berkelahi, tetapi apabila keduanya bermuafakat, ia telah turut disambut oleh rakyat tidak berparti sekalipun yang ternyata gembira dan bersama mendukung ikatan tersebut.

So, kalau ini indikator yang diberi oleh rakyat di bawah, ahli akar umbi di bawah juga memberikan signal begini, kenapa kita nak meleraikan perkara yang sudah semakin baik ini?

“Ya di situ PAS menjadi orang tengah, PAS menjadi jambatan. Umno masih bersetuju untuk bersama PAS. BERSATU masih bersetuju untuk bersama PAS. Maka PAS faham dirinya menjadi pihak yang duduk di tengah-tengah, mendamaikan dua sahabat yang sedang berbalah.

“Itu tugas dan peranan PAS sekarang ini. Dan tugas ini tidak mudah dan tidak senang. Ianya melalui ranjau jalan yang berduri, dan PAS perlu melalui jalan tersebut,” tegasnya mengajak melihat bahawa ahli bawahan dan rakyat juga mahu melihat BERSATU bersama dengan PAS dan Umno.

Tambah beliau, kombinasi ketiga-tiga parti itu sedang mengikat di peringkat kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) hingga ke kampung-kampung termasuk dari kumpulan Penggerak Komuniti Negara yang keluar dari PKR.

Oleh itu disimpulkan beliau, model hubungan yang sama sangat sepatutnya boleh diadakan di peringkat Persekutuan dan ketegangan berlaku adalah lumrah, namun dapat dikendurkan untuk semua pihak ini dapat bersama.

Mengulas terdapatnya suara pimpinan parti yang boleh membawa kepada perpisahan itu, beliau mengingatkan betapa suara besar rakyat tidak berparti mahukan ketiga-tiga parti tunjang Melayu-Islam itu bersama.

Bahkan katanya, suara pemimpin sedemikian tidak mampu menutup semua pintu kerjasama yang bukan sahaja di dukung rakyat, tetapi juga dari institusi Melayu-Islam termasuk institusi Raja-raja.

Pun demikian ujarnya, adalah menjadi hak pimpinan parti masing-masing dalam mengemudi parti mereka bagi menarik kepercayaan ahli dan tiada pihak luar berhak mengatakan kelayakan ketua itu memimpin partinya.

“Tak boleh, itu rumah tangga dia. Dia walaupun adik-beradik, tapi dia dah ada suami, dia dah ada isteri. Tak akan senang-senang kita nak kata isteri ini tak sesuai dengan dia. Mana boleh dia dah berumah tangga dah. Jadi dia selesailah hal rumah tangga dia.

“Dan bagi saya yang ada hari ini tidak ada masalah, teruskan, hanya sedikit perbezaan sahaja, tidak banyak pun, tidak besar pun perbezaan ini. Jadi, ketepikan yang sedikit itu, dan sama-sama duduk berbincang, terus insyaAllah kita akan membina Muafakat dan perpaduan. Akhirnya impak kepada rakyat dan juga negara itu sendiri,” katanya.

Kerana itu jelas beliau, PAS dalam situasi ini tetap mengambil pendirian menangani skop yang lebih besar melibatkan penyatuan dan perpaduan ummah hingga mengekang pandemik COVID-19 dan pemulihan semula ekonomi negara.

Hal tersebut yakininya, bukan sahaja akan menjadi jalan keluar kepada kemelut yang berlaku, malah akan menjadi penilaian rakyat terhadap ‘track record’ kemampuan menerajui tampuk pemerintahan kerajaan.

Malah secara khusus, PAS sendiri ujarnya, kekal membawa rekod bersih tanpa ada dakwaan rasuah dan kes mahkamah termasuk pencapaian sebagai Kerajaan Kelantan, Terengganu dan Kedah. – HARAKAHDAILY 5/4/2021

- Advertisement -