Bahan makanan di Langkawi diimport dari tanah besar

- Advertisement -

LANGKAWI: Bahan makanan yang digunakan penduduk di Langkawi sekarang kebanyakannya diimport dari tanah besar dan Thailand sehingga menyebabkan harganya mahal.

Oleh itu bagi mengurangkan kadar harga produk makanan, penduduk tempatan disaran mengusahakan sendiri hasil pertanian.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, melalui usaha itu secara tidak langsung dapat menurunkan harga di pasaran dan membantu ekonomi penduduk tempatan.

Katanya, penduduk Langkawi boleh membangunkan struktur baharu ekonomi berasas pertanian bagi menghasilkan makanan.

- Advertisement -

“Antaranya melalui konsep farming dengan menternak udang kara air tawar, pembinaan rumah cendawan, penanaman cili fertigasi dan strawberi.

“Projek ekonomi komuniti itu mampu menjadi daya tarikan baharu ke Langkawi.
Penduduk Langkawi hendaklah mengambil peluang melibatkan diri bukan sahaja di sektor pelancongan.

“Penghasilan makanan juga mampu menjadi daya tarikan baru ke pulau itu,” katanya selepas majlis pelancaran Ayer Hangat Village Berwajah Baru di sini kelmarin.

Turut hadir pada program berkenaan Adun Ayer Hangat Johari Bulat.

Sanusi juga berkata, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan syarikat swasta DXN Sdn Bhd boleh membantu membangun sektor pelancongan di Langkawi.

DXN membina rangkaian pengedaran sejak 28 tahun lepas di 170 negara dan mempunyai 10 juta ahli.

Justeru itu Menteri Besar berharap LADA dan DXN menjadi pemain baharu bagi menjana sektor ekonomi dalam komuniti.

“LADA dipertanggungjawab mengawal selia produk-produk pelancongan dan kerajaan negeri akan membantu membangunkan semula sektor itu di Langkawi,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/4/2021

- Advertisement -