Antara kelulusan KKM dan dakwaan jurujual

- Advertisement -

BOLEH tak doktor komen mengenai penjual produk ini yang ada segelintirnya menipu pengguna atau pembeli. Contohnya, barangan mereka diluluskan KKM, mereka beri penerangan mengenai kandungan-kandungan yang ada dalam produk mereka dan mendakwa produk mereka boleh merawat penyakit. Ada juga jurujual yang menyuruh pesakit meninggalkan terus ubat KKM. Alasannya produk mereka pun sudah lulus KKM.

Jawapannya:


Produk yang dikategorikan sebagai lulus KKM perlu melepasi syarat-syarat yang ditentukan oleh KKM itu sendiri. Penjual produk tidak boleh memandai mendakwa produk mereka boleh merawat penyakit walaupun produk mereka telah mendapat kelulusan KKM.

Kelulusan KKM itu terdiri dari beberapa kategori. Andai kata produk mereka itu lulus di bawah kategori ubat terkawal sekalipun, tidak boleh dengan mudah membuat iklan dan promosi tuntutan perubatan. Ada akta khusus yang melarang promosi iklan.

- Advertisement -

Manakala bahan-bahan kategori tradisional yang berdaftar dengan KKM (Kod kategori MALxxxxxxT) yang mendapat kelulusan berdasarkan kepada jaminan berkualiti dan selamat mengikut profile pengeluar produk yang telah dikemukakan. Selamat di sini bermakna, sesuai untuk kegunaan umum seperti yang didakwa. Akan tetapi tiada manfaat perubatan secara khusus seperti menyembuhkan penyakit tertentu.

Jika ubat tradisional mendakwa berkesan dalam merawat penyakit, maka pihak pengeluar wajib dan bertanggungjawab memberikan laporan kajian saintifik dan klinikal. Sekiranya pihak berkuasa ubat menerima laporan itu sebagai menepati prosedur yang sepatutnya maka Agensi Regulatori Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA – agensi bawah KKM) benarkan mereka menulis indikasi untuk ubat atau produk tersebut dan mungkin ia tidak berada bawah tradisional tetapi berada bawah ubat terkawal untuk tujuan rawatan berindikasi.

Begitu juga bahan-bahan yang di bawah kategori pemakanan atau suplemen, ianya tertakluk kepada akta makanan. Tidak sewenangnya boleh mendakwa produk makanan atau suplemen mereka mampu menyembuhkan penyakit.

Habis itu kenapa produk itu semua dijual di farmasi?

Untuk makluman, kedai farmasi boleh menjual produk selagi mana produk-produk itu mendapat kelulusan seperti mana yang dibincangkan di atas tadi. Malah kedai farmasi boleh menjual produk tanpa preskripsi doktor (Over the Counter – kategori OTC) seperti ubat Paracetamol. 

Cuma bagi ubat-ubatan yang terkawal, hanya pegawai farmasi yang bertugas di kedai tersebut sahaja boleh menjual. Itupun pegawai farmasi berkenaan memerlukan preskripsi dari doktor yang merawat pesakit. Pegawai farmasi tidak boleh memeriksa pesakit dan memberi diagnosa penyakit seterusnya mengesyorkan pesakit tersebut ubat tertentu. Ini adalah salah dari sudut etika kefarmasian.

Masyarakat harus faham berkaitan dengan tatacara ataupun prosedur rawatan mereka, supaya mereka tidak mudah tertipu dengan pujuk rayu dari penjual produk yang membuat tuntutan perubatan melebihi (overclaim) khasiat produk yang sepatutnya.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 5/4/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -