Siti Zailah makan laksa Perlis di rumah Shahidan

Foto-foto daripada Facebook Siti Zailah Mohd Yusoff.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff menerima jemputan daripada Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Shahidan Kassim ke rumahnya sempena lawatan kerja ke Perlis, baru-baru ini.

“Beliau jemput saya datang ke rumah dan seperti biasalah pelbagai cerita dikongsikan bila berjumpa.

“Saya sangat hargai keramahan dan budi pekerti tinggi Dato’ Seri kepada kami.

“Terima kasih YB Dato Seri Shahidan Kassim, Ahli Parlimen Arau kerana sudi menerima ziarah kami ke rumah,” ujar beliau menerusi satu hantaran di laman Facebooknya, semalam sambil menambah masakan yang dihidangkan semuanya sedap.

- Advertisement -

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berharap semoga pertemuan itu memperkuatkan lagi ukhuwah yang sudah sekian lama terjalin.

Menjawab pertanyaan netizen, Siti Zailah berkata Shahidan menjamu beliau dan rombongan dengan laksa Perlis.

Dalam lawatan kerja ke Perlis itu, beliau menyampaikan bantuan dalam Program Bantuan Bakul Makanan Pakej Prihatin Rakyat di Sanglang, pada pagi Jumaat.

Beliau berharap melalui program itu dapat membantu meringankan beban yang tidak berkemampuan dan ditimpa musibah terutama warga emas, wanita, ibu tunggal dan OKU.

Siti Zailah juga mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Azlan Man di atas kesudian menerima kunjungan hormat beliau di pejabat Menteri Besar pada petang Jumaat.

Pada pertemuan itu, dibincangkan isu-isu sosial dan usaha pemerkasaan kumpulan sasar melalui cadangan kerjasama yang lebih mampan antara kementerian dan Kerajaan Negeri Perlis.

Siti Zailah turut berkunjung ke rumah Mufti Negeri Perlis, Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin,

Beliau mengucapkan terima kasih banyak kepada Mohd Asri atas kesudian menerima kunjungan itu dengan penuh mesra.

“Bertuah dapat merasa air tangan Isteri beliau yang mahir memasak pelbagai menu.

“Alhamdulillah, banyak juga perbincangan bagi beberapa persoalan berkaitan kumpulan sasar Kementerian yang sangat bermanfaat,” ujarnya.

Menurutnya, Mohd Asri juga bersetuju untuk bekerjasama dengan Agensi Kementerian, LPPKN Negeri Perlis dalam menjayakan usaha melahirkan keluarga dan masyarakat sejahtera khususnya di negeri itu.

“Insya-Allah saya akan berjumpa dengan lebih ramai lagi para mufti dan ulamak bagi memastikan usaha kementerian membantu rakyat dan negara bertepatan dengan panduan Al-Quran dan Al-Sunnah, semoga Allah permudahkan dan berkati,” katanya.

Siti Zailah yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan juga menziarahi Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin.

“Jam 8 pagi menziarahi dan mohon mendapat nasihat dari Tuan Guru Musyidul Am. Semoga hidup kita sentiasa dalam bimbingan Allah,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 4/4/2021

- Advertisement -