Pinda akta: Cemar sumber air didenda RM15 juta

KOTA BHARU: Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sedang disemak semula bagi mengenakan hukuman lebih berat dan setimpal terhadap pesalah melibatkan kes pencemaran sumber air dengan kompaun hingga RM15 juta dan penjara mandatori.

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) juga telah menubuhkan Jawatankuasa Unit Jenayah Alam Sekitar dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyiasat kes pelupusan sisa buangan berjadual secara haram yang berleluasa sehingga menyumbang kepada masalah pencemaran air.

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, usul pindaan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 itu akan dibawa ke Parlimen akan datang.

Bagaimanapun katanya, berdasarkan undang-undang sedia ada, pihak yang disabitkan kesalahan sebelum ini hanga dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 hingga RM15,000 dan ia dilihat tidak setimpal.

Advertisement

“Kita mahu menaikkannya hingga RM15 juta, selain hukuman penjara mandatori. Harus diingat apabila berlaku pencemaran sungai, misalnya, loji rawatan air terpaksa ditutup.

“Ia menyebabkan kementerian perlu menyediakan lori untuk menghantar bekalan air kepada penduduk yang terjejas sepanjang tempoh sistem berkenaan ditutup.

“Kita tidak caj apa-apa sedangkan kita perlu menanggung kos tinggi. Justeru, kita mahu mereka yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran sumber air itu menanggung kos kerugian berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Cabutan Undi Perdana Bagi Kerja-Kerja Di Bawah Peruntukan KASA bagi Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan, di sini, hari ini.

Tambahnya, mana-mana individu yang melakukan pelupusan sisa buangan berjadual tanpa memiliki lesen atau pengilang yang menyerahkan sisa berkenaan kepada ejen haram terbabit, turut akan dikenakan tindakan tegas.

Ini kerana, ujar beliau perbuatan ejen haram pelupusan sisa buangan berjadual itu menjadi kesalahan besar kerana turut menyumbang kepada pencemaran sumber air.

“Kementerian memang ada memberikan lesen kepada ejen dan mereka wajib hantar sisa buangan berjadual ke tapak pelupusan kita.

“Namun apabila ejen dilantik itu membuang sisa buangan berkenaan ke lokasi tidak sepatutnya, tindakan tegas akan diambil.

“Pada masa sama, saya juga menegaskan, kementerian tidak akan berkompromi dengan sebarang kilang yang menjadi dalang kepada pencemaran.

“Sebelum ini, kita sudahpun mengambil tindakan dengan menggantung operasi atau denda dan membawa kes ke mahkamah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan KASA juga dalam kerangka memikirkan mekanisme untuk memantau industri kilang dalam usaha mengelakkan masalah pencemaran daripada terus berlaku.

“Katakan di Malaysia ada ribuan kilang dan kita terpaksa memantau semua kilang berkenaan, maka sudah tentu berdepan kekangan tenaga.

Justeru itu katanya, kementerian juga perlu memikirkan pendekatan tertentu bagi memastikan semua kilang yang terlibat melalui sistem pembetungan berpusat, sekali gus lebih mudah untuk dipantau. – HARAKAHDAILY 4/4/2021