Bersatu lantik 12 wakil JK Permesyuaratan dengan PAS

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah melantik 12 wakilnya yang diketuai Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri bagi menganggotai Jawatankuasa Permesyuaratan Bersatu-PAS peringkat pusat untuk membincangkan strategi kedua-dua parti tersebut bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agungnya, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, dalam masa yang sama parti itu juga bersiap sedia untuk membantu rakan politik lain seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang setia menyokong kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sarawak akan datang, lapor Bernama.

Beliau menyatakan demikian dalam satu kenyataan hari ini susulan Mesyuarat MPT parti itu semalam.

Advertisement

Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata MPT Bersatu mengulangi komitmennya untuk memperkukuhkan kerjasama antara parti-parti anggota Perikatan Nasional yang terdiri daripada PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Pada 31 Mac lalu, beliau dalam kenyataan bersama dengan Setiausaha Agung PAS, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan menyatakan kedua-dua parti itu akan terus mengukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional bagi menghadapi PRU15.

Menurut mereka, Bersatu dan PAS, selaku antara Parti Pengasas Utama Perikatan Nasional, akan menubuhkan suatu Jawatankuasa Permesyuaratan di peringkat Pusat bagi merangka strategi dan hala tuju parti khususnya bagi menghadapi PRU15, termasuk rundingan pengagihan kerusi.

“Segala keputusan yang dicapai akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional untuk dimuktamadkan secara kolektif di kalangan semua parti-parti komponen,” ujar mereka lagi.

Dalam mesyuarat semalam juga, MPT memutuskan untuk menyegerakan pelantikan Ketua Bahagian Ahli Bersekutu dalam masa terdekat bagi memperkasakan dan meningkatkan lagi penglibatan ahli-ahli bersekutu di seluruh negara.

Ahli bersekutu merujuk kepada ahli Bersatu yang bukan bumiputera. – HARAKAHDAILY 4/4/2021