Sangkar pecah: Ikan pemangsa terlepas ke Sungai Perak

- Advertisement -

IPOH: Insiden ratusan sangkar sebuah syarikat penternakan ikan di Teluk Intan, yang pecah hingga menyebabkan beberapa spesies terlepas ke Sungai Perak pada Isnin lepas, disyaki turut melibatkan ikan pemangsa yang diternak tanpa permit.

Pengarah Perikanan Perak, Zaki Mokri berkata, pihaknya menjalankan siasatan selepas mengesyaki ikan baung ekor merah yang tidak dibenarkan ternakan dalam sangkar di negara ini, turut terlepas menerusi rakaman video yang tular di tempat kejadian.

- Advertisement -

“Pengusaha penternakan ikan itu memberitahu sebanyak 30 metrik tan ikan baung ekor merah telah terlepas bersama ternakan ikan lain, dan sebahagiannya mati apabila sangkar rosak,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata susulan itu, pihaknya telah membuat pemantauan di lokasi terbabit bersama kerajaan negeri bagi menjalankan siasatan lanjut ke atas kejadian.

“Pengusaha ini telah menternak ikan sudah hampir 20 tahun, dan insiden dipercayai berlaku apabila tali yang mengikat sangkar putus dan sangkar kemudian hanyut serta rosak.

“Sampah yang banyak telah melanggar sangkar, menyebabkan tali penambat sangkar terputus dan menyebabkan sebanyak 250 petak sangkar ikan (dari 300 petak sangkar) hanyut, menyebabkan sebahagian ikan terlepas dan kebanyakannya mati teperangkap dalam sangkar,” katanya.

Justeru, beliau berharap ikan-ikan yang diternak secara haram itu dapat ditangkap oleh nelayan darat atau pemancing di kawasan sungai berkenaan, kerana dibimbangi akan membiak memandangkan ia berbahaya kepada ekosistem sungai, selain berisiko kepada sumber sungai.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, penternak ikan dalam sangkar itu mendakwa mengalami kerugian hampir RM7 juta, selepas sangkar ternakan pecah dan dihanyutkan arus deras di Sungai Perak dipercayai akibat perbuatan khianat.

Antara ikan yang diternak oleh penternak terbabit ialah ikan tilapia, patin, jelawat, jelai dan baung, yang turut didakwa telah diambil oleh orang ramai yang menaiki bot di kawasan berhampiran. – BERNAMA

- Advertisement -