KEKALAHAN Donald Trump pada pilihan raya Presiden Amerika Syarikat hujung tahun lalu dijangka akan mula meredakan kembali “kepanasan” suhu geopolitik dunia berikutan banyak tindakan Donald Trump dan pentadbirannya yang menimbulkan pergolakan berpanjangan di seluruh dunia yang tidak nampak jalan penghujungnya.
Ramai pemerhati mahupun penganalisa geopolitik dunia meramalkan “kepanasan” suhu geopolitik dunia akan kembali reda apabila Joe Biden mengambil alih pentadbiran Amerika Syarikat berikutan penentangannya terhadap banyak polisi-polisi luar negara pentadbiran Donald Trump di samping cadangan polisi luar negara Joe Biden dan parti Demokrat yang lebih kepada diplomasi.
Namun semuanya tidak seperti yang diharapkan kerana selepas mengambil alih pentadbiran Amerika Syarikat, Joe Biden nampaknya seperti meneruskan polisi pentadbiran terdahulu malah bertindak lebih keras terutamanya terhadap China, Rusia, Iran dan Korea Utara yang dilihat sebagai ancaman terbesar kepada hegemoni kekuasaan geopolitik Amerika Syarikat.
Trade War di antara China-Amerika Syarikat masih tidak nampak jalan penyelesaiannya, isu Laut China Selatan, Taiwan, Hong Kong dan Xinjiang masih lagi berterusan, isu Perjanjian Nuklear Iran, konflik di Asia Barat, isu Semenanjung Korea dan senjata nuklear Korea Utara dan begitu juga isu yang membabitkan Rusia seperti campur tangan dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat masih lagi hangat menjadi perdebatan di Amerika Syarikat.
Kesemua isu mahupun konflik yang membabitkan keempat-empat negara tersebut dilihat telah menjadi keutamaan Joe Biden dan pentadbirannya ketika ini di mana Amerika Syarikat dilihat sedaya upaya cuba mengekang pengaruh geopolitik negara-negara tersebut terutamanya Rusia, Iran dan China yang seperti sedang mengembangkan pengaruh geopolitik mereka di serata dunia berikutan kelemahan polisi-polisi luar Donald Trump ketika era pentadbirannya.
Walaupun kelihatan seperti Joe Biden cuba berdiplomasi untuk menyelesaikan isu mahupun pertikaian Amerika Syarikat dengan negara-negara terbabit, tetapi jika dilihat tindakannya dengan lebih mendalam, ia sebenarnya adalah seumpama usaha Amerika Syarikat untuk melemahkan ataupun mematahkan cubaan negara-negara terbabit untuk melebarkan penguasaan geopolitik mereka.
Sebagai contoh isu trade war di antara China-Amerika Syarikat di mana baru-baru ini bertempat di Alaska, telah berlaku rundingan diplomat tertinggi kedua-dua negara untuk meredakan ketegangan yang berlaku dalam usaha untuk memulihkan hubungan perdagangan kedua-dua negara namun berlaku sebaliknya apabila terjadinya pertikaman lidah antara mereka yang saling tuduh-menuduh menjadi punca berlakunya perang perdagangan tersebut.
Malah selepas gagalnya rundingan di Alaska, Joe Biden minggu lalu dalam kenyataan terbaharunya menyebut secara jelas bahawa China tidak akan memintas Amerika Syarikat untuk menguasai dunia apatah lagi untuk menjadi kuasa ekonomi terbesar dunia sepanjang beliau menjadi Presiden Amerika Syarikat.
Kenyataan tersebut secara jelas menunjukkan bahawa Joe Biden sedaya upaya akan cuba menghalang China dalam apa juga keadaan agar tidak memintas Amerika Syarikat untuk menjadi “penghulu dunia” di mana ketika era pentadbiran Donald Trump, Amerika Syarikat dilihat seolah-olah telah mula hilang pengaruh dan penguasaannya ke atas perjalanan geopolitik dunia.
Amerika Syarikat tidak bersendirian dalam agenda tersebut, tidak sebagaimana ketika era pentadbiran Donald Trump di mana Amerika Syarikat seperti tidak mempedulikan NATO, Kesatuan Eropah dan sekutu-sekutunya. Kali ini baik NATO, Kesatuan Eropah mahupun sekutu-sekutu kuatnya terdahulu dilihat bersama-sama Amerika Syarikat dalam usaha mengekang China, Rusia, Iran dan Korea Utara dalam melebarkan dan memperkukuhkan penguasaan ke atas geopolitik dunia.
Terbaharu yang dilakukan Amerika Syarikat dalam usaha mengekang pengaruh negera-negara tersebut terutamanya China ialah mewujudkan gabungan kuasa politik di Asia Pasifik yang digelar oleh penganalisa geopolitk antarabangsa sebagai “Asia Quad” iaitu kerjasama strategik Amerika Syarikat dengan Australia, Jepun dan India terutamanya untuk melemahkan kedudukan China di Laut China Selatan dan Timur Asia.
Ia dilihat akan menjadi sebagaimana konsep NATO iaitu kerjasama strategik di antara Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah di mana penubuhan NATO dahulu ialah untuk melemahkan Turki dan melenyapkan usaha-usaha untuk mengembalikan kegemilangan Islam di Eropah sebagaimana ketika Turki di era Khilafah Uthmaniyyah.
China dilihat sebagai penghalang usaha Amerika Syarikat untuk menjadi kuasa geopolitik terkuat di Asia terutamanya Asia Pasifik disamping untuk melemahkan penguasaan ekonomi China ke atas negara-negara Asia yang dilihat Amerika Syarikat sebagai mempunyai potensi besar untuk menjadi hab perdagangan terbesar dunia dekad akan datang.
Penyertaan semula Amerika Syarikat ke dalam World Health Organisation (WHO) dan Paris Climate Agreement baru-baru ini juga dilihat sebagai usaha Amerika Syarikat untuk menguatkan lagi penguasaan mereka ke atas geopolitik dunia berikutan tindakan Donald Trump yang menarik Amerika Syarikat keluar dari WHO dan Paris Climate Agreement yang dianggap salah dan melemahkan Amerika Syarikat oleh Joe Biden dan parti Demokrat.
Begitu juga tindakan Amerika Syarikat yang mengeluarkan laporan pembunuhan Jamal Khashoggi yang memberikan reputasi buruk kepada Arab Saudi terutamanya untuk Putera Mahkota Muhammad Bin Salman dilihat sebagai salah satu usaha Amerika Syarikat untuk menguatkan lagi cengkaman kepada Arab Saudi yang dilihat mula rapat kepada Rusia.
Kehadiran wakil-wakil diplomat Amerika Syarikat dalam mesyuarat dan rundingan yang membabitkan negara-negara yang dilanda konflik di Asia Barat seperti Libya dan Syria juga dilihat sebagai usaha terkini Amerika Syarikat untuk mengembalikan mahupun menguatkan semula pengaruh geopolitknya yang terhakis akibat tindakan Donald Trump di Asia Barat.
Turki yang dilihat akrab dengan Rusia dan Iran juga tidak terkecuali turut menerima tempias tindakan Amerika Syarikat walau tidak termasuk dalam senarai negara-negara seperti Rusia, Iran, China dan Korea Utara. Amerika Syarikat termasuk juga Kesatuan Eropah bertindak memberi amaran kepada Turki mahupun ancaman sekatan akibat tindakannya di Timur Mediterranean yang dilihat sebagai ancaman kepada Greece dan negara-negara Eropah berdekatan.
Begitu juga dengan Perjanjian Nuklear Iran 2015 di mana ketika mula Donald Trump mengambil alih pentadbiran Amerika Syarikat, Amerika Syarikat telah menarik diri dari perjanjian tersebut dan ketika berkempen pada pilihan raya Presiden Amerika Syarikat dan mula menjadi Presiden Joe Biden telah menyatakan bahawa Amerika Syarikat akan kembali menyertai perjanjian tersebut demi untuk mengembalikan kestabilan politik di rantau Asia Barat serta menghormati perjanjian yang diasaskan oleh Barrack Obama.
Namun nampaknya sehingga saat ini, Joe Biden dan pentadbirannya masih bermain “tarik tali” untuk menyertai kembali perjanjian tersebut dengan pelbagai syarat mahupun ancaman kepada Iran yang lebih dilihat mengikut kehendak Israel yang mana Israel memberi ancaman untuk menyerang Iran jika Amerika Syarikat menyertai kembali perjanjian tersebut.
Rusia pula dilihat sebagai ancaman terbesar Amerika Syarikat ketika ini kerana peranannya menjadi dalang di sebalik tabir tindak tanduk Iran di Asia Barat terutamanya di Syria, Yaman dan Lubnan. Selain daripada itu juga, Rusia dilihat sebagai mastermind kekecohan Cyber Warfare pilihan raya Amerika Syarikat 2016 yang mengakibatkan kekalahan Hillary Clinton kepada Donald Trump.
Agenda perluasan pengaruh geopilitik Rusia di Asia Barat seperti mula berbaik-baik dengan Arab Saudi, UAE dan Israel juga dilihat sebagai ancaman kepada Amerika Syarikat. Malah dalam pilihan raya terbaharu Amerika Syarikat, Rusia juga dituduh cuba memanipulasi pengundi Amerika Syarikat dengan Cyber Warfare supaya tidak mengundi Joe Biden dan calon parti Demokrat.
Maka disebabkan itu, Amerika Syarikat dilihat mula mencatur kembali gerak kerjanya bersama-sama sekutunya seperti NATO, Kesatuan Eropah, Britian dan negara-negara sekutunya di Asia untuk melemahkan pengaruh geopolitik, ekonomi dan ketenteraan China, Rusia, Iran dan Korea Utara daripada terus menjadi ancaman kepada kekuasaan hegemoninya.
Namun Rusia, China, Iran dan Korea Utara tidak berdiam diri malah mula merencanakan strategi untuk melawan tindakan-tindakan Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya. Terbaharu, Iran dan China telah menandatangani perjanjian kerjasama strategik 25 tahun dalam pelbagai peringkat dan sektor.
Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov dan Menteri Luar China Wang Yi minggu lalu telah mengadakan pertemuan di Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, Selatan China. Walaupun tidak dipastikan perincian pertemuan selama dua hari tersebut selain kenyataan media kedua-dua Menteri Luar yang menempelak tindakan Amerika Syarikat ketika ini, diramalkan akan ada tindakan susulan daripada kedua-dua negara terbabit dalam menangani situasi geopolitk dunia semasa terutamanya untuk menangani Amerika Syarikat seperti perjanjian strategik dua hala.
Korea Utara dan China juga pada awal tahun ini turut menyatakan kesediaan kedua-kedua negara tersebut untuk menjalinkan hubungan yang lebih rapat disamping pelbagai kerjasama startegik yang mampu memanfaatkan kedua-dua negara sebagaimana yang dilaporkan oleh agensi berita China, Xinhua News Agency yang memetik kenyataan Xin Jinping, Presiden China selepas kegagalan rundingan di Alaska dimana ia turut memetik kenyataan Xin Jinping bahawa China juga akan turut menjalinkan kerjasama strategik yang lebih erat dengan Rusia.
Januari 2021, Iran dan Rusia menandatangani kerjasama strategik antara kedua-dua negara dalam bidang Cyber Security, telekominukasi dan teknologi maklumat. Kerjasama yang dilihat banyak pihak sebagai usaha Rusia-Iran untuk menangani agenda Amerika Syarikat untuk melemahkan kedua-dua negara dilihat sebagai usaha awal kedua-dua negara dalam meningkatkan kerjasama strategik kedua-dua negara.
Apa yang boleh disimpul bahawa perjanjian mahupun kerjasama strategik keempat-empat negara tersebut iaitu Rusia, China, Iran dan Korea Utara walaupun tidak menyeluruh tetapi sebenarnya adalah permulaan kepada peringkat awal perjanjian bersama keempat-empat negara yang dirasakan akan berlaku tidak lama lagi, mungkin dalam masa terdekat mahupun awal tahun hadapan.
Tindakan Rusia, China, Iran dan Korea Utara selepas ini dijangkakan akan lebih berbentuk kolektif dalam usaha mengekang Amerika Syarikat dan sekutunya dari mengenakan pelbagai tekanan mahupun tindakan ke atas mereka.
Usaha-usaha awal kesemua perjanjian keempat-empat negara tersebut sebenarnya adalah untuk melihat sejauh mana tindakbalas Amerika Syarikat dan sekutunya terhadap semua usaha perjanjian dan kerjasama strategik tersebut. Jangkaan awal penganalisa geopilitik dunia, Amerika Syarikat dan sekutunya akan terus menekan keempat-empat negara tersebut hingga sampai ke satu tahap dimana berkemungkinan akan tercetusnya peperangan yang berkemungkinan berlaku di Asia Timur.
Melihat kepada senario diatas, sayangnya negara-negara Dunia Islam saat ini berpecah-belah dan tidak memanfaatkan pentas mahupun organisasi yang sedia ada seperti OIC dan Liga Arab untuk meningkatkan kerjasama, persefahaman dan perpaduan di antara umat mahupun negara-negara Islam.
OIC dan Liga Arab dilihat digunakan untuk menguatkan penguasaan geopolitik dan pengaruh sebilangan negara-negara Dunia Islam terhadap negara-negara Dunia Islam yang lain. Ia tidak dimanfaatkan sebaiknya mahupun sebetulnya dalam usaha untuk meningkatkan kesejahteraan dan perpaduan umat mahupun Dunia Islam.
Mutakhir ini, pertubuhan-pertubuhan umat Islam ini dilihat seperti memecah-belahkan perpaduan umat dan Dunia Islam malah ada yang melihat ia seakan menjadi alat kepada kuasa-kuasa besar dunia untuk menguatkan cengkaman dan asakan kepada umat dan Dunia Islam. Sampai bilakah akan berlakunya sebegini ?
Selagi mana umat dan Dunia Islam tidak sedar dan peka bahawa perpaduan dan kesatuan adalah kunci utama kejayaan umat dan Dunia Islam, selagi itulah umat dan Dunia Islam akan hanyut dan terpedaya dengan tipu daya, muslihat dan kelicikan musuh-musuh Islam dalam usaha untuk merosakan dan menghancurkan perpaduan umat dan Dunia Islam.
Sebelum terlambat sedarlah bahawa perpaduan, kesatuan dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar adalah perkara utama untuk membangunkan perpaduan dan mengembalikan kegemilangan serta kesucian Islam di muka bumi ini. Moga Allah SWT memakbulkan doa dan merahmati segala usaha kita semua.
Islam Memperkukuh Perpaduan.
YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 3/4/2021