Nilai penyatuan ummah yang sebenar

Foto hiasan
- Advertisement -

SIFIR penyatuan ummah pada asalnya mudah semudah kiraan satu tambah dua dan dua tambah tiga. Membawa kepada penambahan jumlah ke arah yang lebih besar. Namun apabila orang yang mengira tidak mahu jawapan seperti mana soalan, maka sampai bila-bila sifir mudah ini tidak ketemu jawapannya.

Frasa kata penyatuan ummah sudah memberi konotasi yang positif. Ibarat peribahasa Melayu yang diajar sedari kecil iaitu “bersatu teguh, bercerai roboh” memberi gambaran definisi yang sangat jelas. Secara nalurinya, manusia inginkan penyatuan. Yang mengambil pendekatan tidak mahu penyatuan ini, adalah berpunca daripada wujud agenda tersirat. Walau kata-kata seakan mahu penyatuan, tangan kanan dihulur untuk bersalaman, tangan kiri menggenggam buku lima tunggu masa untuk dilepaskan.

- Advertisement -

Jika agenda tersirat ini terus menjadi keutamaan, hanya memikirkan kepentingan peribadi dan perebutan tampuk kekuasaan. Berpencak silat untuk menunjuk-nunjuk semata bukan untuk menjaga kekeluargaan dan kesinambungan bangsa, agama dan negara. Tanpa pedulikan perpaduan ummah dan muafakat yang ikhlas, nescaya sifir mudah itu tiada jawapannya.

Gagasan penyatuan ummah manifestasi daripada roh dan acuan politik yang disajikan melalui perjalanan sirah Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Ketika mengharungi saat-saat getir kedudukan Islam dan kaum muslimin di Mekah, membawa kepada hijrah penyatuan ummah dan tertegaknya negara Islam pertama di Madinah Al Munawwarah.

Kemajmukan Madinah yang menaungi bangsa-bangsa dan kabilah yang berbeza-beza. Bahkan kemajmukan agama juga wujud saat itu tetapi disatukan di bawah panji keadilan Islam yang memerintah. Sehingga bangsa yang bukan bangsa Arab, agama yang bukan agama Islam merasa aman dan selamat ditadbir secara matang dan sejahtera oleh Nabi Muhammad SAW.

Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang digagaskan oleh Tuan Guru Presiden PAS dibawa ke pentas utama berpolitik dalam negara sewajarnya diamalkan oleh semua parti politik. Bukan hanya di Malaysia bahkan di seluruh dunia. Politik matang membawa kepada budaya berpolitik yang mengutamakan kematangan semua pihak dalam membuat keputusan dan tindakan yang meletakkan agenda ummah sejagat dan negara menjadi tunjang utama. Seterusnya membawa kepada kesejahteraan kehidupan seluruh masyarakat di negara ini. Bukan hanya kepentingan peribadi dan kelompok-kelompok tertentu.

syarhan humaizi

Rakyat dan pemimpin yang inginkan penyatuan ummah sudah pasti berpegang dengan kemas dan berprinsip bahawa budaya politik yang ekstrem sehingga melanggar batas-batas perpaduan dan keharmonian negara perlu ditolak secara konsisten. Begitu juga pendekatan liberal yang merungkai kejituan ikatan pegangan agama sebagai teras dan paksi kewujudan negara Malaysia ini dan keutuhan bangsa peribumi yang menjadi teras pasakkan agama Islam sebagai lambang negara Malaysia, perlu dipertahankan. Seluruh ummah yang cintakan agenda penyatuan ummah ini demi kepentingan agama, bangsa dan negara Malaysia tercinta perlu sederap beriringan menuju cita-cita murni ini.

Letakkan agenda ini yang paling utama. Hormat menghormati dalam bicara serta jauhkan politiking yang melampau sempadan bersaudara. Pupukkan keikhlasan mengikat hati dan jiwa. Sehingga kekhilafan kecil mahupun besar punyai jalan keluar untuk hindari nestapa dan duka.

Memetik tulisan yang menarik oleh Timbalan Presiden PAS YB Dato Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man: “Politik ialah usaha membanyakkan kawan dan mengurangkan musuh. Dalam apa jua muafakat politik, kerusi menjadi persaingan. Dalam satu parti pun ianya menjadi rebutan, apatah lagi dalam gabungan pelbagai parti. Namun kaedah perpakatan yang ada jangan kedekut, yang minta jangan tamak. Ada waktu kita kena korban apa yang kita sayang untuk elak mudarat yang lebih besar. Jangan menang sorak, kampung tergadai. Menyanyilah lagu anak kecil bermain api, kalau tidak dihayati, ia akan membakar diri”.

Justeru, ikatlah penyatuan ummah ini dengan padu. Singkirkan bengit agenda peribadi dan ketamakkan perebutan kuasa. Layari Budaya Politik Matang dan Sejahtera. Serta mendada menentang politik ekstrem dan liberal yang berusaha untuk kembali berkuasa. Untuk mencari nilai sebenar hakikat penyatuan ummah, tepuk dada tanyalah iman yang menjadi perhitungan dosa dan pahala.

SYARHAN HUMAIZI HALIM
Ketua Penerangan PAS Selangor
20 Syaaban 1442 | 3 April 2021 – HARAKAHDAILY 3/4/2021

- Advertisement -