Muslimat Pekan-Rompin kongsi idea tubuh TASTI

- Advertisement -

PEKAN: TASTI Ummu Aiman telah menerima kunjungan daripada rombongan Dewan Muslimat PAS Kawasan Rompin di premis itu di Jalan Semarak Api, Taman Sepekan Jaya, di sini kelmarin.

Kunjungan ini diketuai oleh Ketua Muslimat, Yusmaliza Yusuf yang hadir bersama, Timbalan Ketua Muslimat, Mazyah Mahussain dan beberapa Ahli Jawatankuasa mewakili tiga DUN iaitu Ibam, Muadzam dan Tioman.

Kehadiran delegasi ini diraikan oleh Naib Ketua Muslimat PAS Kawasan Pekan merangkap Pengerusi Lajnah Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Harison Mohd Amin. 

- Advertisement -

Turut bersama adalah Pengerusi Lajnah Penerangan dan Pengerusi Lajnah kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Pekan, Ustazah Rahidaton Nordin dan Siti Hawa Mohamed.

“Lawatan rasmi kami ini adalah untuk meninjau potensi dan cabaran yang dihadapi oleh Dewan Muslimat PAS Pekan dalam membangunkan TASTI Ummu Aiman. 

“Melalui usaha ini, dapatlah kami menimba ilmu dan pengalaman dalam pembinaan sesebuah pusat asuhan,” ujar Mazyah. 

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Lajnah Pembangunan Wanita dan Keluarga Muslimat PAS Rompin memaklumkan cadangan untuk membuka TASTI di Bandar Muadzam Shah awal tahun 2022. 

“TASTI Ummu Aiman sentiasa terbuka menerima kunjungan dan menyambut baik hasrat murni ini, malah bersedia berkongsi pengalaman yang kami ada,” ujar Pengurus TASTI Ummu Aiman, Siti Hajar Abu Bakar yang turut hadir meraikan kunjungan tersebut.

Menurut Dr Harison yang juga merupakan Pengerusi TASTI, sesi perbincangan bukan hanya berkisar mengenai pengalaman tetapi turut membincangkan strategi penubuhan. 

Dialog dan perkongsian mengenai pembukaan TASTI itu turut tertumpu ke arah perkara teknikal, kawalan perbelanjaan dan kerencaman karenah para penjaga, serta lain-lain. 

“Sepanjang tempoh tiga tahun beroperasi, tahun 2020 agak sukar bagi kami yang turut terkesan akibat pandemik COVID-19. Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020, bukan sahaja memberi tekanan dari sudut kewangan tetapi juga fizikal dan emosi.

“Banyak cabarannya, namun kami tetap bersyukur kerana hidup dalam BERJEMAAH, saling membantu ketika memerlukan dan turut memahami kesusahan orang lain,” imbau Dr Harison.

Mengambil kira setiap pengamatan dan penelitian Muslimat PAS Kawasan Pekan dalam pembangunan dan pengurusan TASTI, beliau telah memberikan nasihat. 

Serinya, Muslimat PAS Rompin perlu lebih bersedia dalam membuat perancangan yang teliti dari aspek lokasi, pengiklanan dan juga mendapatkan tenaga kerja.

Beliau turut berharap melalui pertemuan dan perkongsian kedua belah pihak ini mendapat manfaat, seterusnya berjaya membuka TASTI seperti yang dirancangkan. – HARAKAHDAILY 3/4/2021

- Advertisement -