Melurus asas muafakat, tolak golongan ekstrem, liberal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Muafakat Nasional (MN) ditubuhkan untuk menyatukan persaudaraan dan kuasa politik umat Islam.

“Ia melangkaui kepentingan parti masing-masing. Ia tidak bertujuan menjadikan mana-mana parti mendominasi satu sama lain.

“Ia semata-mata untuk memperkasakan umat Islam yang menjadi majoriti rakyat Malaysia, sekali gus memberi jaminan keselamatan dan kebajikan untuk rakyat minoritI,” kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Menurutnya, agenda MN menolak sebarang muafakat atau kerjasama dengan mana-mana golongan yang menolak Islam atau tidak mesra Islam seperti mana telah ditunjukkan oleh DAP dan PKR ketika mentadbir negara bersama PH.

- Advertisement -

Justeru, kata beliau slogan ‘No DAP, No PKR’ sentiasa dilaungkan dan dijadikan asas persefahaman.

Malah, jelasnya PAS keluar daripada Pakatan Rakyat pada 2015 juga atas asas menolak agenda DAP dan PKR yang dilihat songsang tidak menguntungkan Islam.

“Inilah yang dimaksudkan oleh Presiden PAS dalam tulisan terkini iaitu kerjasama mestilah berasaskan dua perkara; pertamanya dengan golongan yang tidak ekstrem dan keduanya dengan golongan bukan bersifat liberal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dalam meluruskan asas muafakat itulah Presiden PAS menegaskan kepentingan menjaga muafakat semua parti termasuk Umno dan PBBM.

“Bersama Umno dipertegaskan slogan perkukuhkan MN. Bersama PBBM pula dipertegaskan slogan mempertahankan PN yang PAS dan Umno juga menjadi sebahagian kerajaannya,” ujarnya.

Tamabhnya, tidak mungkin kerajaan yang ditubuhkan dan diuruskan bersama cuba diruntuhkan pula sehinggalah berlakunya pilihan raya umum seterusnya.

Katanya, dalam mendepani pelbagai isu rakyat dalam suasana pandemik Covid-19 dan kesuraman ekonomi, kesatuan dalam kalangan pemimpin sangat penting dan ia menjadi asas kestabilan kerajaan.

“Kerajaan perlu dilihat sentiasa memperjuangkan isu dan kepentingan rakyat,” tegas beliau yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Katanya lagi, kritikan yang dibuat mestilah dengan hasrat ke arah memperkasakan kerajaan bersama.

Beliau menambah, tidak wajar isyarat yang salah disampaikan kepada rakyat yang sedang berhadapan dengan isu kesusahan ekonomi dan pengangguran akibat pandemik Covid-19.

Justeru, tambahnya tema Malaysia Prihatin perlu sentiasa sentiasa dilonjakkan dan dipersadakan.

“Kesatuan umat ini tidak mudah. Laluannya berliku. Ramai yang sedang mendoakan kejayaan kesatuan ini sepertimana adanya golongan yang mengharapkan kehancuran perpaduan ini kerana kepentingan peribadi sendiri.

“Ayuhlah umat terus bersatu di atas asas muafakat yang telus dan tulus,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 3/4/2021

- Advertisement -