KUANTAN: PASTI sebagai institusi pendidikan awal kanak-kanak meletakkan pengaruh guru sebagai elemen penting dalam perkembangan pendidikan ini dalam merangkumkan proses pengajaran dan pembelajaran.
Sentuhan guru merupakan satu kepakaran yang khusus dan tidak dapat dilihat tetapi akan mendatangkan kesan mendalam terhadap individu seperti pengetahuan, pertimbangan dan kebijaksanaan terhadap pelajarnya.
Pendekatan tersebut juga sebagaimana dibawa tokoh falsafah pendidikan Islam, Imam Burhanudin al-Zurnuji dengan mengamalkan sepenuhnya konsep asas Islami dalam setiap pelajaran yang diterapkan.
Iaitu melalui gabung jalin dalam pelbagai medium pengajaran lalu disalurkan ke dalam aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum, demikian jelas Pengarah PASTI Malaysia, Ustaz Syarhan Humaizi Abdul Halim.
Beliau merasmikan Kursus Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak Semester Satu Ambilan 2021 yang telah dilangsungkan di SRITI Al-Itqan, Paya Besar, di sini 27 hingga 29 Mac lalu.
Kursus serentak di seluruh Malaysia ini telah juga dilaksanakan di di Pahang melibatkan empat lokasi iaitu Pusat Kursus Kawasan (PKK) Temerloh, PKK Jengka, PKK Rompin dan Pusat Kursus Anjung (PKA) Paya Besar.
Turut serta dalam kursus di PKA Paya Besar ini adalah para guru dari PASTI Kawasan Pekan iaitu PASTI Ibnu Uthman Taman Ketapang Mualim dan PASTI Al-Mokhtar Kelat Rendang serta PASTI Al-Hidayah Jaya Gading.
Ustaz Syarhan dalam mengupas pentingnya peranan pendidik itu menjelaskan tiga elemen berdasarkan surah al-Jumuah yang perlu difahami dan dilaksanakan dengan sebaiknya bagi mencapai kelahiran insan beriman dan soleh.
“Seorang pendidik itu bertanggungjawab untuk membacakan ayat-ayat Allah S.W.T kepada penuntut ilmu dan mendidik atau mengakhlakkan anak-anak supaya mereka menjadi pengamal akhlak yang baik.
“Seorang pendidik itu juga adalah yang mengajarkan manusia melalui al-kitab iaitu al-Quran dan al-hikmah yakni kebijaksanaan melalui hadis Rasulullah S.A.W,” terang beliau. – HARAKAHDAILY 3/4/2021