Benarkah penduduk Bukit Malut PATI dari Myanmar?

BUKIT Malut. Sebut saja nama ini… yang akan segera melintas ialah Myanmar. Adakah benar tanggapan kononnya semua penduduk Bukit Malut Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dari Myanmar? Atas tanggapan itu, kerajaan sering ditanya, ‘mengapa tidak tangkap dan hantar mereka pulang?’

Untuk menjawab soalan ini, antara perkara yang perlu difahami ialah: 

Advertisement

1. Sebahagian besar penduduk Bukit Malut adalah warganegara Malaysia. Mereka bukan pendatang atau pelarian. Mereka adalah rakyat Malaysia yang sah. Jadi mahu dihantar pulang ke mana?

Malangnya, ini bukan sekadar persepsi masyarakat tetapi ada satu dua media yang tidak melaporkan fakta tepat mengenai status penduduk Bukit Malut. 

Laporan yang tidak tepat ini walaupun telah dijelaskan berkali-kali dalam sidang media MB menyebabkan komuniti warganegara Malaysia di Bukit Malut dianggap pelarian atau pendatang tanpa izin dari Myanmar.

2. Penduduk asal Bukit Malut sebenarnya ialah komuniti orang Melayu yang datang ke Langkawi dari Myanmar pada penghujung 1970-an dan awal 1980-an. Suatu ketika dahulu, daerah asal mereka di Myanmar adalah dalam wilayah Kesultanan Kedah. Sebagaimana wilayah atau daerah dalam Negeri Kedah yang lain, nenek moyang mereka berhijrah pergi balik dari satu daerah ke satu daerah dan ada yang asal keturunan sememangnya dari Langkawi. Pada masa itu, Langkawi sebagai daerah paling hampir menyebabkan penduduknya berulang alik ke serata pulau dan daratan yang berhampiran di perairan Laut Andaman seperti Phuket malah hingga ke Myanmar hari ini.

Daripada generasi pertama yang datang ke Langkawi, telah membiak kepada generasi kedua, ketiga dan keempat yang lahir sebagai warganegara Malaysia. Difahamkan, generasi yang pertama itu ada yang telah diberi kerakyatan Malaysia.

Dari sudut sejarah, wilayah Tenaserrim dari mana mereka berasal di Myanmar hari ini terutama Pulau Dua hingga ke Bokpyin dan Meliwon suatu ketika dahulu adalah termasuk dalam wilayah Kesultanan Negeri Kedah selain beberapa wilayah di dalam negara Thailand sekarang iaitu Satun (Setol), Krabi, Phang Nga, Ranong dan Pakbara.

Tenaserrim adalah berasal daripada nama Melayu iaitu Tenang Sari atau Tanah Seri. Meliwon juga berasal daripada nama yang merujuk kepada Melayu iaitu Malay One yang diberikan oleh Inggeris, dan kini dikenali sebagai Meliwon.

Hingga kini, nama-nama Melayu masih digunakan secara meluas untuk nama-nama kampung di Pulau Dua (Myanmar) malah keseluruhan penduduk di sana juga masih menggunakan dialek Melayu Kedah secara meluas dalam pertuturan harian.

Oleh kerana mereka berasal daripada keturunan rakyat Kesultanan Kedah, mereka diberikan gelaran atau status khas dikenali sebagai Melayu Islam Kedah (MIK) dan diletak bawah pentadbiran Majlis Keselamatan Negara (MKN) hingga hari ini.

Apa yang menjadi isu ialah mereka menduduki tanah milik syarikat-syarikat Kerajaan Negeri. Meskipun menduduki tanah Kerajaan Negeri, urusan mereka masih bawah Kerajaan Persekutuan melalui MKN. Dalam keadaan ini, mereka telah mencetuskan banyak masalah bagi Kerajaan Negeri. Penempatan mereka di tanah milik kerajaan telah menjejaskan usaha untuk dijalankan projek pembangunan di kawasan itu.

Untuk memindahkan mereka bukan mudah. Kerajaan pernah memindahkan sebahagian penduduk Bukit Malut ke satu lokasi di Taman Nilam, Langkawi namun apa yang menjadi masalah ialah hanya sebahagian sahaja yang sedia untuk berpindah. Ini telah menyebabkan wujud dua koloni iaitu di lokasi asal dan juga lokasi baharu di Taman Nilam.

3. Selain pertambahan penduduk dalam komuniti asal MIK setelah lahir generasi kedua, ketiga dan keempat, kehadiran kumpulan pendatang tanpa izin yang mengambil kesempatan untuk menyelinap dalam komuniti ini telah menambah serabut masalah sedia ada. Masalah pendatang asing bukan kuasa Kerajaan Negeri untuk tangani kerana ia membabitkan bidang tugas agensi penguatkuasa Persekutuan iaitu Jabatan Imigresen dan MKN. 

Justeru untuk memberikan kefahaman berkaitan isu ini secara tepat, perlu diperjelaskan bahawa sebarang langkah yang mahu diambil oleh Kerajaan Negeri memerlukan kata putus daripada MKN sebagai pemegang kuasa sebenar ke atas MIK berdasarkan klausa perundangan yang telah ditetapkan pada masa itu.

Media dan orang perseorangan perlu sebut fakta yang tepat agar persepsi yang menyeleweng tidak terus disebarkan hingga menyebabkan Kerajaan Negeri terus dipersalahkan.

MUHAMAD MAT YAKIM
2 April 2021

(Dalam feri dari Langkawi ke Kuala Kedah) 

p/s: Melayu Islam Kedah (MIK) diberikan oleh kerajaan sebagai nama khusus untuk komuniti ini yang digazetkan dalam perundangan. Jangan ada yang tanya ‘pasai apa depa dipanggil Melayu Islam Kedah? Kami ini lagu mana? Depa saja ka orang Melayu Islam di Kedah ni? Kami orang Melayu Islam Mahang lagu mana pulak?’ Jangan tanya lagu itu. Saya tak dak jawapan. – HARAKAHDAILY 3/4/2021