UMK berusaha lahir ramai usahawan pelajar

- Advertisement -

KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui Institut Keusahawanan UMK (UMKEI) berusaha melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan pelajar.

Pengarah Kanan UMKEI, Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata, UMK diberi peruntukan sebanyak RM940,000 oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi menjayakan program tersebut.

Katanya, peruntukan itu untuk membangunkan syarikat pelajar berteraskan produk inovasi melalui Projek Keusahawanan Nasional: Structured Entrepreneurial Incubator Programs (SEIP).

- Advertisement -

Katanya, projek berkenaan menyasarkan melahirkan 200 usahawan pelajar.

“Kita menyasarkan daripada jumlah itu sekurang-kurangnya 40 syarikat pelajar dapat dilahirkan,” katanya pada perasmian SEIP di sini baru-baru ini.

Program berkenaan dirasmikan Pengarah Bahagian Education Malaysia, Jabatan Pendidikan Tinggi KPT Redhauddin Kamaruzaman.

Turut hadir Pengarah Pusat Pembangunan dan Pendidikan Keusahawanan (CEED) Prof Madya Dr Mohammad Ismail dan Pengarah Institut Perusahaan Kecil dan Sederhana (ISME) Dr Anis Amira Ab Rahman.

Dr Nik Maheran juga berkata, SEIP akan menyumbang pembangunan usahawan, penciptaan pekerjaan dan meningkatkan ekonomi negara sejajar dengan dasar kerajaan menjadi negara keusahawanan pada 2030.

Kata beliau pada kali ini seramai 60 peserta dipilih yang terdiri daripada ketua-ketua projek melibatkan 10 inkubator.

Mereka dipilih bersama pensyarah, pembimbing dan usahawan pelajar bertemu mata secara fizikal di UMK melalui program SEIP Bootcamp Market Inteligence, VOICE Canvas and Business Confidence.

Ketua Projek Inkubator yang terlibat iaitu UMK, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Politeknik Muadzam Shah Pahang dan Politeknik Melaka.

Redhauddin pula berkata, KPT sentiasa memberi sokongan yang padu terhadap sebarang aktiviti yang memberi manfaat kepada pelajar, universiti dan masyarakat. – HARAKAHDAILY 2/4/2021

- Advertisement -