Sarawak mampu muncul antara negeri paling maju

Foto daripada Facebook Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan, akan mencapai kemajuan dan pembangunan pesat untuk muncul antara negeri paling maju di Malaysia.

Perdana Menteri berkata dalam setiap ucapan ketika lawatan kerja dua hari ke negeri itu yang berakhir hari ini, beliau memberi jaminan hak-hak Sarawak akan terus dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Alhamdulillah, lawatan kerja dua hari saya ke Sarawak berakhir dengan menghadiri program bersama kerajaan negeri, penjawat awam, beramah mesra dengan masyarakat setempat, lawatan ke medan niaga serta program Ziarah Prihatin.

Advertisement

Dalam setiap ucapan, saya tekankan komitmen Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menilai dengan adil semua tuntutan Sarawak, terutama yang melibatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasminya malam ini.

Berkongsi mengenai lawatannya ke Sarawak, Muhyiddin berkata beliau sempat menikmati sarapan pagi di Restoran Mi Kolok Hj Salleh, restoran yang pernah disebutnya ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) pada April tahun lepas.

Selain itu, beliau juga berkesempatan melawat Medan Niaga Satok bagi program Prihatin dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

“Rata-rata peniaga yang saya temui menghargai pelbagai pakej bantuan yang disediakan kerajaan kerana banyak membantu mereka meneruskan kehidupan dan perniagaan dalam situasi pandemik Covid-19.

“Di akhir lawatan, saya berkunjung ke Blok Pusat Rawatan Harian, Hospital Umum Sarawak yang mampu merawat seramai 100 orang pesakit sehari,” katanya. – BERNAMA