Projek Jiwa Murni tentera bantu penduduk miskin

- Advertisement -

TUMPAT: Projek Jiwa Murni (PJM) yang dikendalikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membina dan membaiki rumah penduduk miskin di sini.

Panglima 8 Briged Brig Jeneral Zamsari Abu Hassan berkata, PJM di bawah kelolaan 8 Briged diadakan sempena sambutan Hari Tentera Darat ke-88 dimulakan pada 10 Februari lepas.

Katanya, ada rumah penduduk yang siap dibina dan dibaik pulih dalam jangka masa tertentu.

- Advertisement -

“Ada rumah yang siap dibina dalam tempoh 17 hari, ada yang 24 hari dan ada juga 31 hari. PJM sejajar dengan Perintah Ulung Panglima Tentera Darat dalam tunggak kelima iaitu meningkat hubungan tentera dengan awam.

“PJM melibatkan lima projek di Kelantan dan satu projek di Terengganu merangkumi kerja membina serta membaik pulih rumah dan pembinaan tadahan air.

”Satu lagi baik pulih rumah di Machang dan kesemua Projek Jiwa Murni di Kelantan siap sepenuhnya termasuk pembinaan tadahan air,” katanya pada majlis penyerahan projek berkenaan di Kampung Kepulau sini semalam.

Perasmian program berkenaan disempurnakan Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Pembinaan tiga projek dan baik pulih rumah terbabit melibatkan kos RM50,000. Dana disumbang Pejabat Menteri Besar, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Markas Tentera Darat.

Menteri Besar berkata, projek berkenaan bermula 10 Februari lalu memilih tiga penerima masing-masing mangsa banjir, OKU dan rumah warga emas yang terbengkalai.

Katanya projek di bawah kelolaan 8 Briged itu turut mendapat kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN). – HARAKAHDAILY 2/4/2021

- Advertisement -