Pemimpin perlu fikir rakyat, bukan utama parti

KANGAR: Parti-parti Melayu-Islam di Malaysia boleh disatukan dengan syarat mereka perlu berjiwa besar.

Pemerhati politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Rusdi Omar berkata, mereka mesti berada di bawah kesatuan yang sama tanpa mengira parti mana yang diterajui orang Melayu.

Bagaimanapun katanya kebanyakan ahli politik hanya memikirkan kuasa dan jawatan sehingga ia mendatangkan masalah.

Advertisement

“Mungkin perkara ini satu perkara yang mustahil tetapi PAS dilihat boleh menjadi pendamai dalam usaha untuk menyatukan semua parti politik di negara kita.

“Tetapi bagi saya PAS berada dalam dilema sama ada bersama Umno atau memilih Bersatu. PAS perlu menyatakan ketegasan mengenai perkara itu,” katanya ketika dihubungi di sini.

Pada Perhimpunan Agung Umno 2020 Ahad lepas diputuskan Majlis Tertinggi Umno diberi mandat untuk memutuskan bagi menarik diri daripada menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekiranya parlimen tidak dibubar pada 1 Ogos hadapan.

Dr Rusdi berkata, PAS kini berada dalam kerajaan PN sudah tentu ia akan memberi kesan bagi membawa agenda perpaduan ummah bersama Umno.

“PAS perlu bekerja keras untuk menyelesaikan masalah antara dua parti adik beradik tersebut. Jalan damai perlu diselusuri supaya kesatuan dan muafakat dapat disepakati.

“Ini tugas yang paling berat dipikul PAS. Maknanya pihak lain tidak boleh memberi kata dua kepada parti pendamai ini untuk memilih salah satu kerana menggalas amanah sebagai pendamai,” ujarnya.

Bagaimanapun kata beliau sekiranya PAS terpaksa juga memilih, mereka perlu mencari kaedah yang boleh mengurangkan mudarat kepada parti itu.

Menurutnya pemimpin PAS perlu tekad mencari pendekatan selunaknya untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku sekarang.

Beliau juga berkata, pemimpin politik perlu memikirkan tentang negara dan rakyat, terlebih dahulu dari memikirkan kepentingan peribadi dan parti semata-mata. – HARAKAHDAILY 2/4/2021