PAS ‘relaks’, pertembungan adalah lumrah politik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS tidak beretorik dalam mengambil segala langkah dan pendekatan, sebaliknya secara organik dan dinamik berpandukan radar politik Islam sebagai asas yang fundamental.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, PAS mengambil sikap memperbanyakkan kawan dan mengurangkan musuh di sebalik cemuhan pihak-pihak tertentu.

Peringatnya terhadap tindak tanduk ahli politik, sejarah akan kembali mengejar di mana perkataan diucapkan dan perbuatan dilakukan pada masa kini akan menjadi pengaruh kepada masa depan.

- Advertisement -

Kerana itu jelasnya, PAS mudah berkawan dan memaafkan Umno di sebalik pertembungan sangat tajam kedua parti itu melebihi kemelut antara Umno dan BERSATU pada ketika ini.

“Pertembungan kami lebih daripada 60 tahun, very colourful, macam-macam ada. Tetapi kenapa kedua-dua parti ini boleh ada nilai simbiotik, boleh memaafkan di antara satu sama lain. Kerana apa? Kerana memahami bahawasanya perlu ada ketuanan Melayu yang dipandu oleh Islam. 

“Jadi sebab itu kalau tanya saya, saya tidak retorik, sebab saya duduk dalam keadaan yang bila saya pergi program, yang di tempat ultra Umno, macam-macam saya kena. Saya duduk waktu zaman itu, waktu Form 3 lagi. Jadi, bila kita merasai nikmat ini, maka di situlah datangnya kenikmatan persaudaraan itu. 

“Walaupun dia Umno, walaupun dia buat macam-macam dengan kita. Kita juga pernah buat macam-macam dengan dia. Tapi dengan adanya penyatuan ini, menyebabkan kita selesa. 

“Sebab itulah walaupun ada sedikit sebanyak boleh nampak dalam sehari dua ini ada tekanan-tekanan daripada beberapa pemimpin-pemimpin Umno pada PAS, lihat apa responsif PAS? Kita relaks, kita tenang, kita maafkan, dan kita menganggap itu adalah biasalah di dalam lumrah dia politik.

“Sebab kalau you tak biasa dengan lumrah dalam politik ini, ia akan jadi tidak sabar, dan you akan gelojoh dalam membuat tindakan,” ujarnya dalam Agenda AWANI membicarakan topik PRU15: Siapa Kawan, Siapa Lawan secara langsung di Studio Astro, kelmarin.

Kerana itu juga terangnya, di sebalik desakan supaya PAS membuat pilihan dalam hubungannya antara Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional, keputusan dibuat mestilah mengutamakan rakyat.

Lantaran itulah katanya, PAS mengambil sikap mempertahankan Kerajaan PN dan menyelesaikan dahulu pandemik COVID-19 dan setelah Parlimen dibubarkan, maka terserah kepada parti masing-masing.

“PAS kita ada Majlis Syura Ulamak, kita paling mudah. Kalau Majlis Syura Ulamak memberikan direction dasar, kita ikut. Itu saja. Sebab itu saya kata, keadaan politik di dalam PAS lebih tenang. Sebab kita menganggap paling penting sekarang empower resources yang ada. 

“Sekarang ini kita dipertanggungjawabkan oleh rakyat untuk memimpin rakyat. Inilah waktunya, inilah kerajaannya. Tidak boleh sangsi lagi, sebab ia adalah kerajaan yang telah disetujui oleh Yang di-Pertuan Agong. Rakyat melihat dan menilai. 

“Kalau kita masih lagi masuk dalam polemik kuasa, politik kuasa, maka rakyat akan menghukum bukan PN sahaja, tetapi komponen di dalam PN sekarang,” ujarnya memberi peringatan.

Menurutnya, dengan berada dalam kerajaan, PAS kembali mengamati keadaan sebenar sistem eksekutif dan legislatif dalam negara termasuk tatacara gerak kerja kerajaan yang masih perlukan segala proses diringkaskan.

PAS juga katanya, cuba memberi ramuan penambahbaikan kepada budaya kerja yang dalam perkhidmatan awam ke arah lebih baik untuk rakyat dan negara. – HARAKAHDAILY 2/4/2021

- Advertisement -