MIC wadah politik terbaik bagi masyarakat India

- Advertisement -

KLANG: Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berkata parti MIC merupakan satu-satunya wadah politik terbaik bagi masyarakat india di negara ini.

Beliau berkata MIC merupakan wadah politik serba boleh dan mampu mengharungi apa jua rintangan atau perjalanan sukar kerana mempunyai pengalaman selama 75 tahun.

- Advertisement -

“Orang ingat jika ada ‘pengangkutan’ baharu, maka ia lebih baik. Tetapi orang ramai pun tidak tahu bila ‘pengangkutan’ itu (akan) wujud dan bila ia hilang,” katanya dalam ucapan ringkas kepada perwakilan ketika meninjau perjalanan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita MIC di sini, hari ini.

Vigneswaran menjelaskan walaupun Barisan Nasional kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu dan berada di blok pembangkang namun MIC tetap meneruskan komitmennya membantu rakyat khususnya masyarakat India di negara ini.

Mengambil contoh operasi membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di India akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lepas, Vigneswaran berkata MIC tampil ke hadapan dan membiayai sepenuhnya kos penerbangan ketika itu.

Beliau juga menegaskan MIC bukan parti yang mengamalkan politik berasaskan kasta.

Sementara itu, ketika memberi pesanan ringkas di Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda MIC, Vigneswaran meminta perwakilan agar berkongsi sejarah MIC dengan anak-anak muda supaya golongan berkenaan mengetahui pengorbanan serta sumbangan parti itu kepada masyarakat India di negara ini.

Beliau turut memuji kewibawaan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan yang bertungkus-lumus membantu masyarakat India walaupun menjadi wakil tunggal MIC dalam Kabinet ketika ini.

Terdahulu, Konvensyen Pergerakan Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri MIC Kebangsaan itu dirasmikan Timbalan Presidennya, Saravanan.

Konvensyen berkenaan diadakan secara hibrid iaitu kombinasi bersemuka dan maya dengan 400 perwakilan hadir di dewan manakala 400 lagi mengikuti persidangan secara dalam talian.

Vigneswaran akan menyampaikan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung MIC ke-74 esok. – BERNAMA

- Advertisement -