Majlis Syura Ulamak teliti perkembangan semasa MN

Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin
- Advertisement -

ARAU: Majlis Syura Ulamak (MSU) PAS akan meneliti perkembangan semasa hubungan kerjasama dengan Umno melalui Muafakat Nasional (MN).

Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin berkata, sebolehnya hubungan dengan Umno dapat diteruskan melalui MN.

Katanya PAS akan terus mencuba untuk memujuk mereka bagi bersama-sama dengan penyatuan ummah.

“Jika perlu ia akan dibawa ke Majlis Syura Ulamak PAS bagi menilai sejauh mana hubungan sekarang.

- Advertisement -

“Kita percaya mungkin sekarang hubungan sedang keruh, namun tidak lama lagi mungkin akan kembali jernih. Kita tunggu dan lihat bagaimana perkembangan dan keperluan nanti,” katanya ketika ditemui di sini.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan hari ini memberi bayangan menolak muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat asal gabungan itu.

Menurutnya, PAS menolak muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat Muafakat Nasional yang asal.

Kata beliau, matlamat untuk masuk ke medan perjuangan bagi membela umat di negara ini dengan melibatkan semua golongan atas asas perlembagaan yang merdeka dan berdaulat.

Ustaz Hashim berkata, masih terlalu awal untuk membuat sebarang tindakan berhubung kenyataan dikeluarkan Presiden PAS.

PAS dan Umno menandatangani Piagam Muafakat Nasional pada 14 September 2019 bagi memperkasakan agenda Islam, Melayu dan Bumiputera secara tuntas dalam kerangka perlembagaan bagi membangun watan yang sejahtera. – HARAKAHDAILY 4/2/2021

- Advertisement -