Hospital Pendang dijangka operasi April 2022

- Advertisement -

SYUKUR Alhamdulillah, pembinaan Hospital Pendang yang berkapasiti 126 katil di Kampung Manggol Pauh sehingga kini tahap pembinaannya telah mencapai 70 peratus dan dijangka akan mula beroperasi pada awal suku kedua tahun hadapan iaitu pada April 2022.

- Advertisement -

Walaupun tergendala seketika akibat wabak pandemik Covid-19 yang menjejaskan pembinaannya, akhirnya ia teruskan semula serta mampu mengikut jadual asal tarikh pembukaannya seterusnya beroperasi sepenuhnya.

Saya amat berharap apabila siapnya hospital tersebut kelak, ia akan memberikan kemudahan dan faedah kepada seluruh penduduk Pendang termasuk daerah sekitarnya dalam usaha untuk memberikan kemudahan kesihatan yang terbaik dan terkini.

Cadangan pembinaan hospital di Pendang telah diusahakan sejak sekian lama dan proses pengambilalihan tanah untuk projek pembangunan tersebut telah bermula sejak tahun 1983. Ianya telah beberapa kali dibawa serta dibentangkan dalam belanjawan negara namun pelaksanaan pembinaannya hanya bermula pada tahun 2018.

Malah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-pertuan Agong, Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah juga pernah bertitah dalam Ucapan Titah Di Raja dalam satu sidang pembukaan Dewan Rakyat di Parlimen dahulu bahawa pembinaan Hospital Pendang perlu direalisasikan oleh Kerajaan ketika itu.

Ketika mula menjadi Ahli Parlimen Pendang semasa belum bermulanya pembinaan secara fizikal hospital berkenaan, saya bertekad untuk memastikan pembinaan hospital tersebut menjadi kenyataan berikutan Kerajaan Persekutuan ketika itu yang berada dibawah Pakatan Harapan melaksanakan pemotongan belanjawan Kerajaan Persekutuan dimana ia mungkin akan turut menjejaskan pembinaan hospital berkenaan.

Lanjutan daripada itu, saya beberapa kali membangkitkan isu hospital berkenaan dalam sidang Dewan Rakyat di Parlimen disamping mengadakan perjumpaan sebanyak dua kali dengan Menteri Kewangan ketika itu, YB Lim Guan Eng dan juga Menteri Kesihatan Dato Seri Dr. Zulkifli Ahmad dalam usaha untuk merealisasikan pembinaan hospital berkenaan.

Akhirnya pada penghujung 2018, ianya telah persetujui oleh mantan Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng dan mantan Menteri Kesihatan, Dato Seri Dr. Zulkifli Ahmad serta dijadikan butiran pembangunan oleh Unit Pembangunan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri ( EPU ) dan selepas itu, bermulalah pembangunan projek Hospital Pendang.

Lawatan Tunku Laksamana Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri Diraja Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin diiringi Menteri Besar Kedah, YAB Tuan Haji Muhammad Sanusi Md. Nor dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan dan Projek Khas, Dato’ Dr. Mohd Hayati Othman ke tapak pembinaan Hospital Pendang baru – baru ini bagi meninjau pembinaan fasiliti hospital berkenaan adalah petanda jelas bahawa apa yang dinantikan oleh penduduk Pendang dan daerah sekitarnya akan menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Saya memohon dan berdoa ke hadrat Allah SWT agar dipermudahkan segala urusan pembinaan Hospital Pendang yang mana akhirnya akan memberi kemudahan dan manfaat kepada seluruh warga Pendang dan daerah sekitarnya.

Dato’ Awang Hashim,

Ahli Parlimen Pendang. – HARAKAHDAILY 2/4/2021

- Advertisement -