Dah jadi YB, tapi penduduk tetap rakan akrabnya

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Aktiviti ziarah ke atas warga masyarakat setempat sudah menjadi rutin dan kegiatan paling kerap dilakukan oleh ADUN Beserah, Andansura Rabu yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang.

Beliau sedaya upaya akan berusaha memenuhi permintaan daripada Ketua-ketua PAS dari 22 Cawangan PAS yang terdapat dalam DUN Beserah selain berhubungan erat dengan warga penduduk telah sedia dikenalinya.

Di samping mengikat kemesraan terjalin antara beliau dengan mereka, kesempatan pertemuan seperti itu juga sebagai antara usaha beliau mengenal pasti isu-isu berbangkit untuk ditangani pihaknya.

- Advertisement -

Kelmarin, dalam kepadatan jadualnya, Andansura tetap memperuntukkan masa beliau mengadakan ziarah khususnya ke atas warga emas dan penduduk yang sakit di Perumahan Balok Perdana, di sini.

Aktiviti disusun oleh Ketua dan Naib Ketua PAS Cawangan Balok Perdana, Mohd Asri Mohd Nor dan Mohd Elias Yajid ini antaranya menziarahi pasangan Wan Chik Talib dan Noraini A. Ghani serta Mustafa Kamal Ramli dan Rahimah Majid. 

Turut dilawati adalah pesakit kronik Mohd Hafiz Hassan yang sebelum ini menerima pinjaman katil daripada Pusat Khidmat DUN (PKD) Beserah di mana kini digunakan pula oleh ayahnya yang mengidap penyakit lumpuh.

Turut dikunjungi Andansura dan rombongan kecil ini adalah keluarga Hayati Harun yang tinggal bersama ibunya Shahimah Mohd Nordin di mana dua beranak ini adalah ibu tunggal dan tinggal serumah. 

Kata Andansura, antara yang dikunjungi itu ada di antara mereka merupakan kawan-kawan lama beliau ketika berkhidmat sebagai Pengerusi Surau Al Hidayah di kawasan Perumahan Balok Perdana. 

“Saya pernah tinggal di Perumahan Balok Perdana dari awal pembukaan kawasan tersebut iaitu sekitar tahun 2003 dan ketika itu selain menjadi Pengerusi surau saya juga bergiat aktif bersama pasukan ahli jawatan kuasa Kawan Rukun Tetangga Balok Perdana,” ujarnya mengimbas kenangan.

Disebabkan beberapa faktor tersebut maka kelibat beliau sudah tidak asing lagi dalam kalangan warga penduduk Perumahan Balok Perdana.

Warga emas yang diziarahi beliau, Noraini A. Ghani ketika berkata beliau merasa sebak bila wakil rakyat dan sahabat-sahabat mengambil berat dan cakna serta sudi berkunjung ziarah ke terataknya dan menyifatkan Andansura seorang yang mesra.

Andansura dan keluarga berpindah ke Kampung Cherating pada tahun 2018 setelah belasan tahun menjadi penduduk di perumahan tersebut. – HARAKAHDAILY 2/4/2021

- Advertisement -