Bengkel dedah teknik pengkaedahan ejaan Jawi

- Advertisement -

KUANTAN: Lajnah Pendidikan Muslimat PAS Kawasan Kuantan telah menganjurkan Bengkel Teknik Pengkaedahan Asas Ejaan Jawi dengan penyertaan memberangsangkan dari para pendidik yang diadakan di Dewan SAR KAFA At-Takwa, Peramu, di sini kelmarin.

Objektif utama bengkel adalah untuk memartabatkan kegemilangan tulisan Jawi dan memperkasakan lagi kaedah ejaan tulisan Jawi mengikut perkembangan dalam asas ejaan terkini serta memperkukuhkan lagi kemahiran para peserta.

- Advertisement -

Pembentangan dan bimbingan disampaikan oleh Munsyi Dewan Jawi Negeri Pahang, Ustaz Abd Halim Abdullah yang bertindak selaku jurulatih dan berjaya memotivasi serta menarik komitmen seluruh peserta bengkel separuh hari ini.

Antara difahamkan beliau kepada peserta adalah mengenai padanan huruf Jawi dan Rumi, vokal terbuka dan tertutup serta akhiran, suku kata, pola dan imbuhan di mana sangat memberi pendedahan baharu terhadap kaedah terkini yang betul dalam ejaan tulisan Jawi.

Guru Sekolah Rendah Islam Al-Irsyad Tanjung Lumpur, Khadijah Mamat memberi reaksi beliau terhadap penyertaannya pada bengkel ini mengakui telah menimba banyak ilmu dan tidak sabar membetulkan kesalahan kaedah diajar beliau kepada muridnya.

“Kadang-kadang cikgu sendiri tak tahu kenapa ejaan itu sebegini dan sebegitu. Selepas tahu sifir yang ustaz ajar tadi rasa lebih yakin nak mengajar Jawi. Cadangan saya perlu ada bengkel 2.0 untuk seterusnya,” ujar beliau.

Bagi Guru SRITI As-Syafie Kuantan, Nasa’ie Nasharuddin menyifatkan kaedah dipelajari itu juga sangat membantu dalam bacaan kepada kitab lughah termasuk teks khutbah, selain kepentingan untuk digunakan dalam penulisan Jawi dengan betul.

“Sangat bermanfaat untuk diri saya dan akan diajar pula kepada pelajar KAFA. Paling menarik bokeh mengajar dengan suasana seronok, kreatif dan pada masa sama faham serta menguasai Jawi,” ujar Guru SAR KAFA Az-Zahrah, Siti Aishah Abdullah.

Begitu juga Guru Pra-Tahfiz Az-Zahrah Tanah Putih Baru, Zainon Ismail yang merasakan penyampaian santai penceramah berjaya memantapkan dan memberi semangat kepada peserta untuk mewujudkan keberkesanan dalam pengajaran di sekolah.

Manakala Guru KAFA At-Taqwa Kampung Peramu, Memun Ismail menyatakan, bengkel tersebut ternyata punyai kelainan yang selama ini para guru sukar memberi kefahaman termudah dalam pengajaran kepada para pelajar. – HARAKAHDAILY 2/4/2021