ALOR SETAR: Sehingga sekarang belum ada keperluan kerajaan Kedah meluluskan bajet tambahan memandangkan persidangan parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) belum dapat diadakan kerana Proklamasi Darurat.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bajet tambahan tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya dan dibelanjakan tanpa bersebab.
Katanya anggaran hasil dan perbelanjaan dibincang pada persidangan Belanjawan 2021 ketika persidangan Dun November lepas.
“Tempoh 2021 tidak dapat dijangka apatah lagi dengan pandemik Covid-19. Perlu dana tambahan untuk perkara-perkara yang tidak dijangka.
“Walau bagaimana pun Kedah belum ada keperluan untuk meluluskan bajet tambahan,” ujar beliau dalam satu sidang media di RTM semalam.
Menurutnya juga usul bajet tambahan biasanya dibuat pada persidangan Dun, namun berikutan situasi sekarang Dun tidak boleh bersidang.
Kata beliau juga peraturan kewangan negeri sangat ketat kerana ia melibatkan prosuder tertentu dan tiada ruang mana-mana pihak berbuat sesuka hati.
Menurutnya juga pendahuluan sebanyak RM2.4 juta untuk elaun Jawatan Kuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi tempoh Januari hingga April 2021 dilulus di peringkat pentadbiran.
“Kerajaan negeri bayarkan dahulu untuk empat bulan. Elaun mereka bukan banyak cuma jumlah mereka melebihi 1,000 orang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/4/2021