Adakah sah solat dalam seluar ada tisu terkena darah?

Foto hiasan.

Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, adakah sah solat saya apabila saya mendapati terdapat tisu yang sudah terkena darah selepas selesai solat tersebut? Mohon penjelasan. Terima kasih.

Ringkasan jawapan

Antara syarat sah solat ialah mestilah suci daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solatnya. Oleh itu, jika sekiranya seseorang menanggung najis pada dirinya seperti tisu yang terkena darah yang berada di dalam poket seluarnya, maka solatnya tidak sah dan perlu diulang kembali.

Walau bagaimanapun, hendaklah diperhatikan jenis darah tersebut dan kadarnya pada tisu itu. Jika sekiranya darah tersebut selain daripada najis mughallazah seperti darah babi dan anjing, sama ada daripada diri sendiri atau binatang yang berdarah mengalir atau tidak mengalir yang lain, dan ia pada kadar yang sedikit mengikut ‘uruf (adat kebiasaan) seperti kadar tompokan kecil atau setitis dua, maka ia dimaafkan. Justeru, solat tersebut sah dan tidak perlu diulang kembali.

WaAllahu a’lam.

Advertisement

Huraian jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Antara syarat sah solat ialah mestilah suci daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solatnya. Ini sepertimana yang disebutkan oleh Imam Khatib al-Syarbini di dalam Mughni al-Muhtaj bahawa:

(وَ) خَامِسُهَا (طَهَارَةُ النَّجَسِ) الَّذِي لَا يُعْفَى عَنْهُ (فِي الثَّوْبِ وَالْبَدَنِ) أَيْ: ثَوْبِهِ وَبَدَنِهِ حَتَّى دَاخِلَ أَنْفِهِ أَوْ فَمِهِ أَوْ عَيْنِهِ أَوْ أُذُنِهِ (وَالْمَكَانِ) أَيْ: مَكَانِهِ الَّذِي يُصَلِّي فِيهِ، فَلَا تَصِحُّ صَلَاتُهُ مَعَ شَيْءٍ مِنْ ذَلِكَ، وَلَوْ مَعَ جَهْلِهِ بِوُجُودِهِ أَوْ بِكَوْنِهِ مُبْطِلًا

Maksudnya: Syarat ke-5: Mestilah suci daripada najis yang tidak dimaafkan pada pakaian dan badan, iaitu pakaian dan badannya walaupun di dalam hidung, mulut, mata atau telinganya. (Mestilah juga suci juga) pada tempat solatnya iaitu tempat yang didirikan solat di atasnya. Tidak sah solat jika terdapat najis pada tempat-tempat tersebut walaupun dalam keadaan seseorang itu tidak mengetahui kewujudannya atau tidak tahu bahawa ia membatalkan solat.[1] (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 1:402)

Oleh yang demikian, jika sekiranya terdapat najis yang tidak dimaafkan pada pakaian atau tempat solat seseorang, maka solatnya tidak sah. Begitu juga jika sekiranya dia menanggung najis dengan pakaiannya yang menyentuh najis, maka solatnya juga tidak sah. Ini sepertimana disebut oleh Imam al-Syirazi di dalam al-Muhazzab:

وان كان عليه ثوب طاهر وطرفه موضوع علي نجاسة كالعمامة علي رأسه وطرفها علي أرض نجسة لم تجز صلاته لانه حامل لما هو متصل بنجاسة

Maksudnya: Jika sekiranya seseorang memakai pakaian yang bersih dan hujungnya itu terkena dengan najis, contohnya seperti seseorang memakai serban di atas kepala dan hujungnya jatuh ke tanah yang bernajis, maka tidak sah solatnya kerana dia menanggung dengan apa yang bersambung dengan najis tersebut.

Manakala, Imam al-Nawawi dalam syarahannya pula menyebut:

هَذَا الَّذِي ذَكَرَهُ مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ وَسَوَاءٌ تحرك الطرف الذي يلاقى النجاسة بحركته في قيامه وَقُعُودِهِ وَرُكُوعِهِ وَسُجُودِهِ أَمْ لَمْ يَتَحَرَّكْ هَذَا مَذْهَبُنَا لَا خِلَافَ فِيهِ

Maksudnya: Apa yang disebutkan oleh pengarang ini merupakan sesuatu yang disepakati. Ia sama ada hujung yang bersentuhan dengan najis tersebut bergerak dengan berdiri, duduk, rukuk dan sujudnya ataupun tidak bergerak. Inilah mazhab kami yang tiada khilaf padanya.[2] (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2:150)

Justeru itu, tidak sah solat seseorang itu jika ada najis pada badan atau tempat solatnya atau menanggung najis pada dirinya. Hal ini sama seperti tisu yang terkena darah yang berada di dalam poket di dalam soalan di atas, dia dikira sebagai menanggung najis maka solatnya batal dan perlu diqadha semula.

Hukum darah yang sedikit

Majoriti ulama’ empat mazhab berpandangan bahawa darah adalah najis.[3] Walau bagaimanapun, perlu diperhatikan juga tentang jenis darah sama ada dari haiwan yang mengalir darahnya ataupun tidak dan juga kadarnya. Ini kerana kadar darah yang sedikit di sisi mazhab al-Syafie adalah dimaafkan sepertimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab:

وَلَوْ أَخَذَ قَمْلَةً أَوْ بُرْغُوثًا وَقَتَلَهُ فِي ثَوْبِهِ أَوْ بَدَنِهِ أَوْ بَيْنَ أُصْبُعَيْهِ فَتَلَوَّثَتْ بِهِ قَالَ الْمُتَوَلِّي إنْ كَثُرَ ذَلِكَ لَمْ يُعْفَ عَنْهُ وَإِنْ كَانَ قَلِيلًا فَوَجْهَانِ أَصَحُّهُمَا يُعْفَى عَنْهُ

Maksudnya: Jika seseorang itu membunuh nyamuk dan kutu dan darahnya terkena pada pakaian atau melekat pada celah-celah jari, hukumnya adalah najis jika ia dalam kadar yang banyak. Adapun jika sedikit, maka terdapat dua pandangan dan pandangan yang paling sahih ialah ia dimaafkan.

أَمَّا دم ماله نَفْسٌ سَائِلَةٌ مِنْ آدَمِيٍّ وَسَائِرِ الْحَيَوَانَاتِ فَفِيهِ الْأَقْوَالُ الثَّلَاثَةُ الَّتِي ذَكَرَهَا الْمُصَنِّفُ وَهِيَ مَشْهُورَةٌ أَصَحُّهَا بِالِاتِّفَاقِ قَوْلُهُ فِي الْأُمِّ إنَّهُ يُعْفَى عَنْ قَلِيلِهِ وَهُوَ الْقَدْرُ الَّذِي يَتَعَافَاهُ النَّاسُ فِي الْعَادَةِ يَعْنِي يَعُدُّونَهُ عَفْوًا

Maksudnya: Adapun bagi darah yang mengalir seperti darah manusia dan haiwan-haiwan yang lain, terdapat tiga pandangan masyhur yang disebutkan oleh pengarang (Imam al-Syirazi). Pendapat yang paling sahih yang disepakati ialah pandangannya (Imam al-Syafie) di dalam kitab al-Umm bahawa dimaafkan jika kadarnya sedikit, iaitu kadar yang dimaafkan oleh orang ramai pada kebiasaannya dengan mengiranya sebagai tidak mengapa. [4] (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3:153)

Manakala, jumlah dan kadar sedikit atau banyak itu di sisi mazhab al-Syafie ditentukan oleh ‘uruf (adat kebiasaan):

وَالْقَلِيلُ) فِيمَا ذُكِرَ (مَا يَعْسُرُ الِاحْتِرَازُ مِنْهُ) بِخِلَافِ الْكَثِيرِ فَالرُّجُوعُ فِيهِمَا إلَى الْعُرْفِ)

Maksudnya: Adapun kadar yang sedikit daripada apa yang dibincangkan ialah apa yang sukar untuk dielakkan daripadanya, berbeza dengan kadar yang banyak (boleh dielak), maka ia ditentukan oleh ‘uruf (adat kebiasaan).[5] (Rujuk Asna al-Matalib fi Syarh Rawdh al-Talib, 134-135)

Oleh yang demikian, hendaklah dipastikan bahawa darah yang ada pada tisu tersebut pada kadar yang banyak atau sedikit. Jika sekiranya pada kadar yang banyak maka solat seseorang itu tidak sah dan perlu diulang semula. Manakala, jika dipastikan bahawa kadarnya sedikit mengikut uruf, iaitu pada pandangan kebiasaan orang ia dimaafkan seperti tompokan kecil atau setitis dua, maka solatnya sah dan tidak perlu diulang kerana ia merupakan najis yang dimaafkan.

WaAllahu a’lam. – HARAKAHDAILY 2/4/2021

Rujukan:
[1] Al-Syarbini, al-Khatib, 1994, Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifati Maani Alfaz al-Minhaj, jld. 1, hlmn. 402
[2] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, t.t, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, Dar al-Fikr, jld 2, hlmn. 150
[3] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, t.t, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, Dar al-Fikr, jld 1, hlmn. 234
[4] Ibid. jld 3, hlmn. 153
[5] Al-Ansari, Zakaria, t.t, Asna al-Matalib fi Syarh Rawdh al-Talib, Dar al-Kitab al-Islami, jld. 1, hlmn. 175.

Tulisan ini diambil daripada laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di ruangan Al Kafi li al-Fatawi yang diterbitkan pada 30 Mac 2021.