Zii Jia intai kelompok lima terbaik dunia tahun depan

Lee Zii Jia
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Selepas berjaya menempatkan diri di tangga kelapan dunia menerusi kejayaan pada kejohanan All England, dua minggu lalu, pemain perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia kini mengintai kedudukan lima teratas dalam ranking dunia menjelang tahun depan.

Zii Jia, yang baru menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-23, Isnin lepas, berharap untuk terus memperbaiki kedudukan ranking dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dengan mengekalkan aksi konsisten pada kejohanan akan datang.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan mengambil satu demi satu langkah dalam meletakkan namanya dalam kelompok lima terbaik dunia susulan ketidakpastian atau penangguhan beberapa kejohanan akibat penularan pandemik Covid-19.

- Advertisement -

Juara All England itu berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran ‘Wall of Champions’ dan penyampaian insentif oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, di sini, hari ini.

Minggu lalu, kedudukan Zii Jia meningkat dua anak tangga ke tangga kelapan dalam ranking dunia BWF selepas merangkul kejuaraan All England dengan menewaskan juara bertahan yang juga pemain nombor dua dunia dari Denmark, Viktor Axelsen, 30-29, 20-22, 21-9 dalam aksi final di Birmingham, England.

Sementara itu, pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu mengakui dirinya kini lebih matang dalam menangani tekanan, menerusi pengalaman bangkit mencatatkan kejayaan di All England selepas prestasi kurang memuaskan di tiga kejohanan di Thailand sebelum itu.

Ditanya mengenai hasratnya untuk mempertahankan pingat emas Sukan SEA Vietnam 2021 apabila BAM mahu menghantar atlet junior ke temasya Hanoi hujung tahun ini, katanya, beliau menyerahkan kepada badan induk itu untuk membuat keputusan.

Terdahulu, jaguh perseorangan lelaki negara itu menerima insentif wang tunai RM30,000 atas kejayaan menjuarai saingan All England manakala beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah turut menerima insentif berjumlah RM15,000 atas kejayaan merangkul gelaran juara Terbuka Switzerland, awal bulan lepas.

Zii Jia akan meneruskan persiapan untuk Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini, dengan menyertai beberapa kejohanan seperti Terbuka Malaysia bermula 25-30 Mei dan Terbuka Singapura (1-6 Jun).

Dalam pada itu, Pengarah Kejurulatihan BAM Wong Choong Hann, bagaimanapun, mengesahkan bahawa Zii Jia tidak akan menyertai Terbuka India bermula 11-16 Mei di New Delhi berikutan peningkatan kes Covid-19 dan keperluan kuarantin selepas kembali ke tanah air.

Katanya, pihaknya akan menghantar beregu lelaki dan wanita serta pemain perseorangan junior ke New Delhi serta meneliti penyertaan pada Masters Sepanyol dari 18 hingga 23 Mei ini. – BERNAMA

- Advertisement -